2AM pukau peminat Malaysia

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


KUMPULAN 2AM, (dari kiri), Jinwoon, Jo Kwon, Changmin dan Seulong tidak menyangka popular di Malaysia.



BUAT pertama kalinya sejak muncul di persada seni pada tahun 2008, band balada popular asal Korea Selatan hadir ke Malaysia untuk mengadakan konsert mini sulung mereka yang berlangsung pada Sabtu lalu di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

Kosmo! berkesempatan menemubual 2AM yang dianggotai oleh Jo Kwon, Changmin, Seulong dan Jinwoon sehari sebelum konsert mini mereka berlangsung.

2AM merasakan diri mereka bertuah kerana tidak menyangka mereka popular di Malaysia dan kehadiran mereka diiringi dengan sambutan hangat oleh peminat.

"Sebenarnya ini bukan kali pertama kami datang ke Malaysia kerana dua tahun lalu kami pernah ke sini untuk mempromosikan album tetapi ini kali pertama kami mengadakan mini konsert untuk peminat.

"Jadi, kami gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk bertemu dengan peminat di sini kerana bukan selalu kami dapat peluang seperti ini berbeza dengan peminat di Korea yang kami dapat bertemu pada bila-bila masa sahaja," ujar Changmin yang mengakui Internet mempopularkan 2AM.

Apabila bercerita tentang impian mereka dalam industri muzik, kesemua anggota 2AM mengatakan yang mereka meminati band g.o.d sebuah band yang cukup popular sekitar penghujung tahun 90-an di Korea Selatan.

"Idola kami dalam bidang muzik adalah band g.o.d dan kami mahu menjadi seperti mereka. Muzik mereka mempunyai identiti tersendiri, walaupun hanya mendengar lagu, kita akan tahu lagu itu milik band g.o.d.

"Kami sedar yang perjalanan masih jauh untuk ke arah itu tetapi kami sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik kerana muzik adalah hidup kami," jawab Changmin lagi.

Muncul sebagai sebuah band balada di dalam kebanjiran band pop di Korea Selatan membezakan 2AM dengan band-band yang lain.

Disebabkan perbezaan itu, mereka pada mulanya tidak yakin untuk menarik perhatian peminat muzik kepada mereka, tetapi hari ini mereka berjaya membuktikan yang 2AM merupakan salah sebuah band paling popular di Asia.

"Pada peringkat permulaan, kami sendiri tidak nampak jalan sukses buat 2AM dan band kami lambat popular berbanding dengan band pop yang mempertaruhkan lagu rancak dan tarian.

"Tetapi syukur, walaupun kami naik dengan perlahan tetapi kami stabil. Muzik kami bukan sahaja untuk anak muda tetapi juga semua peringkat umur kerana muzik kami, muzik yang tenang dan dekat dengan hati," kata Jinwoon sambil mengucapkan syukur kerana album mereka turut berada dalam carta antara album terlaris.


SEORANG peminat 2AM teruja diajak ke atas pentas bersama kumpulan tersebut.



Changmin dan Jinwoon juga sempat bercerita tentang lambakan program realiti dan hiburan di Korea Selatan yang secara tidak langsung mendedahkan privasi mereka kepada khalayak ramai.

Ujar mereka, kemunculan 2AM dalam program televisyen mempunyai kebaikan dan keburukannya.

"Dalam program televisyen kami semua memaparkan perangai sebenar kami dan sifat humor, malah secara tidak langsung mendedahkan banyak perkara peribadi kepada penonton.

"Kebaikannya, adalah orang ramai semakin mengenali siapa 2AM menerusi program seumpama itu dan peminat juga boleh mengenali kami dengan lebih dekat. Sebenarnya kami juga menggunakan peluang itu untuk mempromosi lagu dan album terbaru serta mempamerkan bakat lain yang kami miliki.

"Keburukannya pula, apabila kami mengadakan persembahan, kami tidak sama seperti dalam program televisyen kerana lagu-lagu dendangan kami adalah balada, jadi kami serius.

"Kami juga tidak keluarkan perangai gila-gila di atas pentas persembahan, itu secara tidak langsung membuatkan peminat kecewa kerana mereka mengharapkan kami sama seperti di dalam program TV" jawab Changmin.

Dekat dengan peminat

Dalam showcase mereka, 2AM telah mendendangkan enam buah lagu iaitu Never Let You, Confessions Of A Friend, I Did Wrong, Like Crazy dan This Song.

Menariknya dalam konsert mini yang bermula pada pukul 6.20 petang dan berdurasi sejam lebih itu, 2AM turut terlibat dalam kuiz yang diadakan seperti mengikut gaya artis serta menyambung lagu.

Malah, sebelum konsert mini bermula, pihak penganjur turut mengadakan kuiz untuk penonton dengan meneka nama lagu. Setiap pemenang diberikan hadiah poster yang siap dengan tandatangan kesemua anggota 2AM.

Bukan itu sahaja, peminat yang hadir turut menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi dalam bahasa Korea dan juga bahasa Malaysia buat tiga anggota 2AM iaitu Changmin, Seulong dan Jinwoon yang kebetulan hari lahir mereka jatuh pada bulan Mei.

Peminat yang bertuah juga diberi kesempatan untuk memberi hadiah kepada penyanyi pujaan mereka di atas pentas.

"Terima kasih tidak terhingga buat semua kerana menyanyikan lagu sambutan hari lahir dan kami sayang anda semua," kata Changmin yang kelihatan sungguh terharu dengan sambutan peminat mereka.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top