Drama penyingkiran Amir daripada minggu ketujuh Maharaja Lawak seperti tidak merisaukan dirinya. Dengan wajah selamba, dia yakin kembali berada dalam saingan minggu ini apabila sistem undian masuk menerusi Facebook (Fb) diperkenalkan.

Saingan minggu ketujuh bersiaran langsung menerusi saluran rasmi Astro Warna, jam 10 malam dari Studio Finas, Hulu Klang, Jumaat lalu, menyaksikan Kumpulan Jambu menduduki tangga teratas dengan 60 markah diikuti Kumpulan Jozan (58), Kumpulan Sepah (54), Nabil (52), Kumpulan Balas (42), Man (40) dan Amir terendah dengan 26. Pengkritik mingguan terdiri daripada Mamat Khalid, Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Saiful Apek.

Dengan tema Komedi Senyap menyaksikan tiga peserta solo, Amir, Nabil dan Man yang bergelut dengan peserta berkumpulan, Jambu, Jozan, Sepah dan Balas mengundang ketawa besar penonton di studio.

Amir, 23, kelihatan tidak bersedia dengan persembahannya yang membuatkan penonton diam tanpa suara, berpuas hati dengan apa cuba disampaikan.

"Saya suka menyanyi dan saya cuba lakukannya dengan membawa antena televisyen dalam tema komedi senyap minggu ini.

"Saya cuba melakukan yang terbaik, membuat kerja rumah dan memperbaiki banyak aspek sebelum berada atas pentas," katanya.

Amir juga kelihatan sedikit beremosi ketika dikritik Ahmad Idham hingga terpaksa meminta salah seorang juri, Mamat Khalid pula memberi pandangannya.

Kata Amir, dia tidak ambil kisah dengan apa diperkatakan Ahmad Idham.

"Saya cuba buat dengan mendapatkan pandangan pengkritik lain kerana saya rasa ada penonton ketawa dengan persembahan saya.

"Matlamat utama adalah buat orang terhibur dan bukan lawak syok sendiri," kata peserta menduduki tempat ketiga Raja Lawak Astro Musim 3 ini.

Malah, Amir mengakui tidak terkejut penyingkirannya kerana berpeluang masuk semula melalui undian peminat di laman sosial Fb minggu ini.

Ini bermakna mana-mana peserta tersingkir sebelum ini, berpeluang masuk semula jika mereka mendapat undian tinggi daripada peminat.

Undian kemasukan semula peserta tersingkir menerusi fb akan bermula jam 12 tengah malam, 14 Mei dan ditutup pada jam 12 tengah hari, 18 Mei.

Berlainan bagi Nabil, perasaan resah dipamerkan agak ketara kerana beberapa kali menarik rambutnya sebelum pengumuman penyingkiran dibuat Saiful Apek.

"Malam ini semua tidak menjadi, ikan jerung saya entah ke mana, enjin motorbot tidak menjadi dan kelancaran mengikut tempo lagu `out'. Memang mengecewakan.

"Bagi saya, peluang terus berada dalam Maharaja Lawak memberi semangat mengembalikan ketawa penonton apabila beraksi dalam tema bebas minggu ke-8, Jumaat ini.

"Ini peluang saya ibarat `do or die'. Undian kemasukan semula menguntungkan peserta tersingkir kerana siapa tahu mereka kembali dengan persembahan lebih baik dan muncul juara menyingkirkan kami semua yang konsisten berada dalam saingan setiap minggu," katanya.

Pelawak, Saiful Apek, menyifatkan tafsiran komedi senyap bukan mudah untuk membuat orang ketawa.

"Jika pistol diletak alat `silencer' ia masih boleh membunuh, tetapi jika mulut tidak boleh bercakap atau disuruh senyap, memang susah mencuit hati orang lain," katanya.

Kumpulan Jambu dianggotai Yus dan Taukeh mengundang riuh studio apabila tampil dengan sut renang merah jambu menggayakan aksi di kolam renang, `surfing' dan gimnas berirama.

Dengan gaya bomoh, hantu dan ambulans terlajak mengambil pesakit, trio Sepah iaitu Jep, Mamat dan Shuib turut menghiburkan.

Jozan iaitu Johan dan Zizan, tampil dengan gaya ahli silap mata dan papan iklan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk majlis berkhatan, membuatkan ramai ketawa terbahak-bahak.

Fendi dan Shuk daripada Kumpulan Balas mempersembahkan gaya pasangan kekasih dan kereta mewah, membuktikan mereka antara pencabar terkuat komedi berkumpulan.

Gaya serikandi dengan senapang dan pistol berjuang pada zaman pendudukan Jepun dipamerkan Juara Raja Lawak 5, Man, sedikit mengecewakan walaupun membuat permulaan yang baik.

Kata Mamat Khalid, lawak Man seperti teledera Merdeka Sekolah Menengah Chuping. Hanya peminat Man saja ketawa dan berharap Man terus berada dalam saingan minggu depan.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, format kemasukan semula peserta tersingkir dibuat sebelum Maharaja Lawak bermula.

"Dengan undian masuk selama empat hari dan persiapan dua hari, saya rasa ia memadai bagi peserta tersingkir kembali bersaing.

"Apa yang pasti, saingan minggu ke-8 pasti menarik dan tiada siapa tahu pelawak mana akan berada semula Jumaat ini," katanya.

Pemarkahan peserta dibuat berdasarkan 50 peratus undian juri dan 50 peratus undian penonton.

Oleh Esme Johari Wahab

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top