TIDAK sampai seminggu, dunia seni tanah air dikejutkan dengan berita pemergian pelakon veteran dan penulis, Datuk Omar@Abdul Majid Puteh atau Aimi Jarr, 72, dan penyanyi veteran, Datin Orchid Abdullah, 64, yang menyambut seruan Ilahi.
Aimi Jarr disahkan meninggal dunia di rumahnya di Taman Melawati pada 10 Mei lalu, jam 8.05 pagi akibat serangan jantung sementara Orchid meng–hembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, Jumaat lalu, jam 12.30 tengah hari, selepas menderita akibat penyakit ketumbuhan (paragangloima) sejak tiga tahun lalu.
Dalam mengenang yang tiada, masih ada insan seni yang kini uzur akibat masalah kesihatan dan menghidap pelbagai penyakit.
Antaranya, pelakon dan pelawak veteran, Zami Ismail atau Pak Uda (Pi Mai Pi Mai Tang Tu) yang dimasukkan ke hospital susulan masalah sesak nafas, minggu lalu.
Seorang lagi insan seni yang menghadapi masalah kesihatan ialah penyanyi 70-an, Hasnah Harun yang kini terlantar sakit akibat kanser pangkal rahim.
Pak Uda yang dihubungi semalam, kedengaran ceria dan memaklumkan keadaan kesihatannya kembali pulih, cuma dia menghadapi masalah penyakit asma dan doktor memberikan beberapa hari cuti rehat.
Kata Pak Uda yang menetap di Rawang, dia berasa tidak sabar untuk menyelesaikan beberapa babak lakonan yang tertangguh akibat keadaan kesihatannya itu. Ia membabitkan satu babak dalam drama Gulai Tempoyak Chicken Chop manakala sesi memasukkan rakaman suara untuk filem Halimmunan.
Sementara itu, anak Hasnah, Haslinda Mohd Yunos, 39, memaklumkan keadaan ibunya yang uzur menyebabkannya tidak boleh bergerak dan hanya terbaring di katil.
Penyakit yang dialami ibunya itu menyebabkan kurang selera makan seterusnya mengakibatkan badan semakin susut.
"Ibu disahkan menghidap penyakit ini dua tahun lalu. Sejak itu, dia tidak terbabit lagi dengan aktiviti seni. Ibu hanya bergantung kepada ubat yang diberikan doktor dan beberapa ubat tambahan.
"Tidak dinafikan kos untuk rawatan pesakit kanser cukup tinggi. Begitupun, kami mencuba ubat yang benar-benar sesuai dengannya. Kami juga terpaksa mendapatkan rawatan kimoterapi setiap tiga minggu. Pada masa sama, kami juga mencuba kaedah rawatan tradisional yang lain," katanya.
Akibat menanggung kos rawatan yang tinggi, Haslinda cuba mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih belum ada maklum balas.
Hasnah yang popular menerusi irama Pop Yeh Yeh, kini menetap di kediaman anak-anaknya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Sementara itu, rakan rapat Hasnah, Rubiah Suparman bersimpati dengan nasib yang menimpa rakannya itu. Setiap kali berkunjung ke Singapura, dia tidak lupa menziarahi rakan yang dikenali sejak zaman anak dara lagi itu. Kali terakhir mereka bertemu pada 1 Mei lalu.
"Saya sentiasa mengikuti perkembangan kesihatannya. Malah, saya menyarankan kepada anaknya membawa Hasnah ke Kuala Lumpur untuk mencuba rawatan di sini. Selepas diberitahu anaknya dia menjalani rawatan kimoterapi buat kali kedua, membuatkan saya risau.
"Saya mencadangkan berikhtiar rawatan tradisional terlebih dulu. Menerusi perbincangan dengan anaknya, kami cuba mencari masa yang sesuai untuk mencuba kaedah rawatan di sini selewat-lewatnya minggu depan.
"Mungkin mendapat rawatan bersama Ustaz Lokman atau Ashraf Muslim yang membuka Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di Gombak. Masalahnya, keadaan Hasnah terlalu lemah dan ini mungkin menyukarkan usaha untuk membawanya ke sini bagi menjalani rawatan itu," katanya.
Bekas pelakon drama bersiri popular Naik Tangga Turun Tangga itu sentiasa mendoakan yang terbaik buat sahabatnya itu. Penderitaan yang dialami rakannya itu dapat menjadi iktibar kepada generasi artis muda.
Kata Rubiah, dia turut bersetuju dengan kenyataan yang ditulis pengacara popular, Aznil Nawawi atau Pak Nil menerusi ruangan Borak Pak Nil di Metro Ahad, kelmarin, berkenaan isu artis veteran terbiar masih tiada penyelesaian.
"Saya bersetuju dengan cadangan Pak Nil setiap artis perlu mencarum dan membuat insurans sebagai bekalan masa hadapan kerana artis tidak mempunyai pendapatan tetap.
"Tidak kira artis muda atau senior, mereka perlu merancang lebih awal untuk melakukan sesuatu. Pada usia yang muda, artis sepatutnya sudah merancang menabung atau mencari sumber pendapatan tetap sebagai bekalan untuk hari tua.
"Persatuan juga perlu memainkan peranan penting dengan menggalakkan ahlinya membuat caruman pada masa depan sama ada menerusi KWSP atau sebagainya," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan