Program TV3 sempena Deepavali 2013

TV3 tidak ketinggalan untuk menyajikan filem Bollywood dan telefilem hebat seperti Raavan, Singham, Enthiran, Cikgu Kamala dan Putu Piring VS Putu Mayam.

Bermula pada Jumaat (1 November), telefilem berjudul Cikgu Kamala bakal membuka tirai kemeriahan sambutan Pesta Cahaya.

Disiarkan pada jam 1.30 tengah hari, drama itu dibintangi Puspa Narayan, Intan Ladyana dan Nizam Zaidi mengisahkan Kamala yang terpaksa ditugaskan di sekolah luar bandar.

Dia sering mendapat perhatian kerana sikapnya yang ceria, namun terpaksa berdepan cabaran menyesuaikan diri dengan suasana baru. Kehadirannya dicemburui Cik Nora.

Filem Bollywood, Raavan yang padat dengan aksi mendebarkan bakal menemui penonton pada jam 10 malam, 1 November ini.

Raavan mengisahkan seorang ketua penjenayah, Beera Munda yang menculik Ragini Sharma, isteri kepada Dev Pratap Sharma, polis yang bertanggungjawab atas kematian adik perempuan Beera.

Walaupun dilabel sebagai pengganas oleh polis, Beera disanjungi penduduk kampung yang menganggapnya sebagai Robin Hood.

Beera mahu membunuh Ragini tetapi wanita itu sanggup terjun dari tebing gunung daripada mati di tangan penjenayah.

Tergamam dengan keberanian Ragini, Beera membawa Ragini bersama ke tempat persembunyiannya dan akhirnya jatuh cinta.

Menyusul pada hari kedua Deepavali iaitu 2 November ini, penonton disajikan dengan filem Tamil, Singham, jam 2 petang disusuli telefilem khas, Putu Piring VS Putu Mayam pada jam 10 malam.

Singham membariskan pelakon handalan seperti Ajay Devgn, Kajal Agarwal, Prakash Raj, Sonali Kulkarni, Sachin Khedekar dan Sudhanshu Pandey.

Ia mengisahkan Singham, seorang detektif polis yang menjalankan tugas dengan jujur dan disanjungi penduduk kampungnya.

Mahkamah Tinggi mengarahkan Mayil Vaaganam, seorang gangster yang berpengaruh untuk melaporkan diri kepada Singham dalam tempoh jaminannya.

Mayil hanya menghantar konconya namun Singham enggan menerima dan mengarahkan Mayil untuk datang ke balai polis.

Mayil tercabar tetapi tidak dapat melakukan apa-apa kerana penduduk kampung sangat mempercayai Singham.

Dia mula merancang sesuatu supaya Singham dipindahkan ke tempat lain dan bersumpah akan memusnahkan hidupnya termasuk keluarga dan kawan-kawannya.

Putu Piring VS Putu Mayam pula mengisahkan Wafia atau Pia, seorang penjual putu piring di pasar malam yang berjaya.

Suami Pia iaitu Hadi ialah seorang penyelia kilang yang akan membantu Pia di gerainya selepas pulang berkerja.

Pia suka mengarah dan cemburu buta, malah mengesyaki Hadi berubah hati apabila suaminya tidak lagi akur dengan telunjuknya.

Anak mereka, Akif cuba mengintip Hadi dengan bantuan abang Anje. Akif terkejut apabila melihat kemesraan Hadi dengan Anjali bersama seorang budak perempuan.

Apabila Pia tahu mengenai skandal Hadi dan Anjali, Pia mula belajar buat putu mayam dan mengubah penampilannya untuk memenangi semula hati suaminya.

Telefilem ini yang dijayakan barisan pelakon seperti Jihan Musa, Azhan Rani, Rafael El Arash, Reneetha Veeraja, Subash dan Bodt Sharadee.

Teruskan kemeriahan Pesta Cahaya denganfilem fiksyen Sains Tamil, Enthiran yang dilakonkan Rajnikanth, Aishwarya Rai Bachchan, Danny Denzongpa, Santhanam, Karunas pada 3 November ini jam 3 petang.

Kisah bermula apabila seorang saintis muda bernama Doktor Vaseegaran bertungkuslumus selama 10 tahun untuk menghasilkan sebuah robot yang menyerupai manusia.

Usahanya berhasil apabila sebuah robot humanoid pertama berjaya dicipta dan diberi nama Chitti. Kejayaan Doktor Vaseegaran dicemburui oleh saintis veteran yang juga mentornya iaitu Doktor Bohra. Apa yang akan berlaku seterusnya?



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top