Selama 7 minggu berturut-turut disenaraikan sebagai tiga peserta yang mendapat undian pesanan ringkas (SMS) terendah dalam Gelanggang Raja Lawak 5 (RL5), Epy atau nama sebenarnya Muhammad Hanafi Rusmadi, 18, akhirnya terpaksa akur dengan penyingkirannya pada minggu ke-9.

Namun, Epy bagaikan sudah bersedia dan seakan-akan telah menjangkakan bahawa dia akan tersingkir pada minggu tersebut berikutan reaksinya yang tidak terkejut ataupun bersedih ketika juri tetap RL5, David Teo mengumumkan namanya sebagai peserta seterusnya yang akan meninggalkan gelanggang RL5.


Biarpun sedikit kecewa dengan penyingkirannya, namun Epy memberitahu dia sebenarnya sudah pun bersedia untuk berhadapan dengan senario tersebut. Lebih-lebih lagi selepas menyedari persaingan hebat yang terpaksa diterima daripada lima peserta yang tinggal pada minggu tersebut.

"Terus-terang saya sudah menjangkakannya. Apatah lagi, saya adalah antara 3 peserta yang mendapat undian terendah setiap minggu. Siapa yang tak bersedih, siapa yang tidak terkilan kerana tinggal hanya seminggu lagi untuk saya mara ke peringkat final.

"Namun apakan daya, saya sedar saya adalah antara peserta yang paling lemah dalam lima peserta lain. Mereka sangat hebat, lebih-lebih lagi R2 yang sentiasa konsisten dengan persembahan mereka setiap minggu.

"Apa-apa pun saya berpuas hati dengan persembahan saya pada minggu ini kerana ramai penonton yang suka dan ketawa ketika saya membuat persembahan. Jadi saya tidaklah rasa terkilan sangat," katanya.

Apa yang pasti, bagi Epy penyingkirannya ini tidak sama sekali mematahkan semangat untuknya terus berada dalam bidang seni, malah dia bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon terkenal seperti idolanya, Shaheizy Sam.

"Sebelum masuk Raja Lawak lagi, memang target saya mahu jadi pelakon. Saya minat dengan bidang lakonan sejak dahulu lagi, cuma tidak diberi kesempatan.

" Jadi saya akan gunakan platform Raja Lawak untuk saya pergi jaug lagi dalam bidang seni lakonan. Bukan saya tak mahu menjadi pelawak tetapi biarlah saya ada dalam dua-dua kelebihan iaitu melawak dan berlakon," jelasnya yang cukup pekat dengan loghat utaranya.

Gelanggang RL5 minggu hadapan bakal menyaksikan empat peserta lain iaitu Balas, Man, R2 dan Nazmi bersaing hebat dalam menentukan siapa yang akan kekal dan tersingkir untuk minggu seterusnya.

Gelanggang RL5 yang bersiaran di saluran Astro Prima itu telah dikendalikan oleh pasangan pelawak, Jozan iaitu Johan dan Zizan dengan gelagat mereka yang sangat melucukan setiap minggu.

~ Murai

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top