KUALA LUMPUR: Pelawak Shuib (Sepah) memasang impian untuk menjadi seorang pengarah drama atau filem beberapa tahun lagi.
Menurut Shuib, dia mahu mengembangkan sayapnya ke bidang pengarahan apabila mempunyai pengalaman yang cukup dalam bidang lakonan.
"Saya bercadang untuk membuka sebuah produksi untuk menerbitkan drama atau filem suatu hari nanti.
"Buat masa ini saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang lakonan dan belajar banyak perkara lagi," katanya.
Tambah Shuib, dia yang gemarkan filem bergenre aksi komedi itu memberi tempoh masa selama tiga tahun untuk dirinya mendalami ilmu dalam bidang ini.
Dalam pada itu, ahli kumpulan Sepah ini bakal membintangi filem pertamanya berjudul Man Sewel Datang KL.
Dia yang membawa watak Osman Sewel menganggap ia bukan sesuatu yang mudah seperti yang digambarkan.
"Watak saya sebagai Man Sewel memang agak berat, ianya adalah watak yang paling besar serta paling utama dalam dalam filem tersebut.
"Pada awalnya, saya sendiri tertekan kerana tidak berjaya menjiwai watak Man Sewel, walaupun sudah beberapa kali mencuba," katanya.
Filem terbitan Work Move Production Sdn Bhd ini mengisahkan seorang lelaki bernama Osman yang datang ke Kuala Lumpur bagi mencari rezeki.
Bagaimanapun, ketika berada di Kuala Lumpur berbagai halangan yang terpaksa ditempuhinya sehingga dia terpaksa mengambil keputusan pulang kembali ke kampung.
Filem ini dijangka akan ditayangkan pada November ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan