Shahir skeptik cinta veteran

hi 01.1


ADA jawapan dibiarkan kosong oleh Shahir. Meskipun sudah banyak pembayang dan jawapan yang diberikan, namun maksud yang benar-benar mahu disampaikannya, barangkali hanya insan tertentu sahaja yang mengerti.

“Saya tidak berani cakap yang saya tidak akan bercinta dengannya (Rozita) pada masa depan kerana soal jodoh hanya Allah yang tentukan. Kalau ada jodoh, saya tidak menolak tetapi apa yang ingin saya tegaskan (buat masa ini), saya memang tidak bercinta dengan dia dan saya hanya mahu fokus kepada kerjaya dahulu kerana ia (kerjaya) baru permulaan bagi saya,” kata Shahir.

Itu jawapan Shahir seperti menidakkan perasaan tentang kasih yang barangkali sudah berpupuk di hati.

Benar, Shahir, 23, sudah cukup matang membuat keputusan atau menurut kata hati tetapi jawapan-jawapan kepada persoalan cintanya terhadap jelitawan Rozita Che Wan, 38, tidak membentuk garisan selari.

Bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini sedang berkembang. Empayar dan pengaruhnya sebagai bintang baru yang paling popular menurut Shahir memasang strategi mapan.

Bukan Shahir tidak sedar, soal penafian tentang cinta bukan kali pertama berlaku kepada anak-anak wayang di mana sahaja. Dia sedia maklum terhadap perkara itu. Permainan hati adalah resam dalam karier anak seni, dan permainan adalah sebahagian daripada populariti.

“Dulu, semasa saya mengikuti perkembangan berita hiburan, selalu juga saya beranggapan jawapan-jawapan yang diberikan oleh artis apabila berdepan gosip cinta adalah klise,” katanya.

Seperti sedikit tergelincir daripada jawapan yang dimahukan, Rozita seperti mengiyakan manakala Shahir masih berdolak-dalik. Jurang yang dibiarkan kosong itu pantas terisi oleh spekulasi.

“Saya pernah mengambil langkah untuk berdiam diri apabila berdepan dengan kontroversi tetapi apabila saya bertindak begitu, orang kata saya senyap dan tiada perkembangan.

hi 01.2

MASIH mengelak bercakap soal hati, fokus Shahir kini kepada karier.


“Sebenarnya, saya serba-salah. Fikir-fikir, saya buat kesimpulan, ada baiknya orang selalu bertanyakan khabar saya, maknanya saya masih diterima. Saya tidak pernah cuba cipta kontroversi, ia datang dan saya anggap itu lumrah.

“Tentang Rozita pula, saya hanya boleh katakan, dia adalah wanita dan teman artis yang paling rapat dengan saya ketika ini. Saya sudah mengenalinya ketika dia mula-mula masuk ke program realiti Akademi Fantasia 8 (AF8) sebagai artis jemputan. Hubungan kami berlanjutan kerana kami ada keserasian. Kami sekepala,” ujar Shahir penuh hati-hati.

Mengkehendaki huraian yang lebih, penyanyi bersuara lunak itu diintai pandangannya. Sejauh mana sifat wanita bernama Rozita terlekat di matanya.

“Secara luarannya, dia (Rozita) nampak seperti wanita moden yang lain, tetapi dalamannya, dia sangat tebal dengan nilai-nilai kemelayuan, masih banyak ketulenan dan masih ada nilai tradisional dalam sifatnya terutama dalam bab pemakanan.

“Sebagai seorang wanita, dia seorang yang tabah, dengan anak-anak yang dijaganya, saya lihat dia seorang yang bekerja keras,” ungkapnya seperti terlalu kenal hati budi wanita ‘solo’ beranak dua itu.

Rezeki atau kebetulan, Shahir dan Rozita yang pernah ditemukan dalam drama Lawaknya Fantasia Raya serta klip video terbaru Shahir berjudul Pendam.

Pasangan adik dan kakak ini sekali lagi akan berganding dalam sebuah drama berjudul Summer Camp.

“Dalam drama itu, kami digandingkan sebagai guru sekolah. Saya memang gemarkan lakonan Rozita, lakonannya sangat berkesan. Masa buat klip video baru-baru ini, saya boleh sebak tengok penghayatannya,” puji Shahir tinggi menggunung.

Memerhati plot awal permainan hati antara Shahir dan Rozita, ia ibarat membaca helaian pertama tetapi biasan muka surat terakhir sudahpun ditembusi.

Sudah ada bayangan terbentuk terhadap garisan berbeza antara penafian Shahir mahupun luahan Rozita.

Tidak mustahil setiakawan bertukar menjadi sayang. Untuk Shahir, jika terkocak sebuah rasa, berdepanlah rasa itu atas pegangan seorang lelaki.

Jadi hero filem Karak

hi 01.3

SHAHIR dan Shera Aiyob bergandingan sebagai pasangan kekasih dalam filem Karak yang bakal ke pawagam 26 Mei ini.


TINGGALKAN seketika sensasi Shahir-Rozita yang masih jauh daripada penamat, penyanyi yang sedang popular dengan single berjudul Luar Biasa itu sedang gemuruh menantikan filem pertama lakonannya. Sebuah filem seram berjudul Karak, filem itu dilakonkan dalam tempoh dua bulan selepas bergelar juara AF8.

Shahir bakal teruji dengan filem sulungnya itu, sebuah filem seram terbitan KRU Studio's, arahan Yusry Abdul Halim.

"Memang saya tidak ada asas lakonan, cuma dapat belajar serba sedikit tentang disiplin itu dalam kelas Cikgu Que Haidar serta Cikgu Fatimah semasa di AF.

"Karak adalah filem pertama, saya tidak berani memberikan banyak janji, apa yang boleh saya katakan, tengok dahulu, kemudian barulah buat penilaian. Karak banyak memberikan pendedahan, banyak ilmu yang saya serap ketika berada di lokasi filem berkenaan," katanya yang berganding dengan seorang lagi pendatang baru, Shera Aiyob sebagai heroin Karak.

Sedikit kekok untuk beraksi semula depan kamera, Shahir dan Shera yang ditemukan dalam sesi fotografi bertempat di Hotel Royal Chulan itu berkongsi debar yang sama. Masing-masing gentar terhadap penerimaan peminat serta daya tarikan Karak untuk memenuhkan panggung.

"Saya membawakan watak Nik manakala Shera sebagai Zura. Mulanya Zura seorang gadis yang tertutup daripada segi sosial kerana bekas pelajar sekolah aliran agama tetapi setelah bergaul dengan saya dan rakan-rakan di kolej, dia semakin hilang sifat itu.

"Sehinggalah berlakunya satu tragedi, rupa-rupanya Shera masih ada pegangan lamanya. Di situlah berlakunya banyak adegan cemas. Berlakon dengan Shera menyeronokkan, dia mudah serasi lagipun kami ada banyak sesi latihan sebelum penggambaran bermula," sedikit gambaran filem yang bakal menemui penonton bermula 26 Mei nanti terkeluar dari mulut Shahir.

"Apa-apapun, Karak memberikan semangat kepada saya untuk terus berlakon jika diberikan peluang. Tapi saya perlukan sedikit kelonggaran, saya masih tidak selesa jika dalam satu masa, jadual lakonan dan nyanyian berjalan serentak," tutup Shahir.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top