KUALA LUMPUR: Penyanyi Stacy, 20, yang dikaitkan menjalin hubungan cinta secara rahsia dengan penyanyi Akim (AF7) mengakui tidak melarang peminat yang ingin mengambil tahu kisah peribadinya.
Kata Stacy: “Sejujurnya, saya suka dan amat menghargai keprihatinan peminat terhadap setiap perkara yang saya lakukan. Apabila orang ambil tahu, bermakna orang sayangkan kita.
“Bagi saya, lebih baik orang sentiasa ingin mengambil tahu tentang diri kita dan apa yang kita lakukan daripada orang tidak ambil peduli langsung.”
Walaupun perkara itu mungkin mengundang kemarahan atau perasaan rimas bagi sesetengah artis, Stacy pula menganggap aspek itu perlu dikompromi apabila bergelar figura umum.
“Sebagai artis, kita adalah hak masyarakat. Sudah tentu, apa saja yang kita lakukan, dengan siapa kita berkawan dan ke mana saja kita pergi akan menarik perhatian ramai.
“Jadi, mengapa saya perlu berasa marah kalau peminat ingin tahu tentang saya? Selagi ia tidak melampau atau memberikan tekanan, saya tidak kisah untuk berkongsi kisah peribadi dengan orang ramai,” katanya.
Berkongsi tentang kerjaya nyanyian pula, Stacy yang baru dilantik sebagai duta aiskrim Wall's Cornetto di samping Akim berkata, dia sedang sibuk mengumpulkan lagu-lagu untuk album keduanya.
“Album kedua saya dijangka akan keluar pada sekitar bulan Jun depan. Sekarang ini, saya tengah sibuk mengumpulkan lagu-lagu untuk album itu.
“Dalam masa terdekat, saya akan keluarkan single daripada album itu iaitu Kisah Dongeng ciptaan Edry Abdul Halim. Kali ini, saya pilih lagu berentak balada pula sebagai pertaruhan,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan