Filem Cinta Kura Kura (CKK) arahan Nizam Zakaria adalah filem tempatan yang wajar ditontoni penggemar filem Melayu tahun ini.

Perjalanan cerita dikembangkan dengan baik. Filem terbaru terbitan KRU Studios itu tidak hanya memaparkan kura-kura sebagai binatang peliharaan semata-mata, akan tetapi mengaitkannya dengan metafora penuh rahsia yang tidak diketahui umum.

Norman Abdul Halim berkata, di sebalik sifat kura-kura yang pasif, ia menyimpan pelbagai keistimewaan yang boleh dikaitkan dengan karakter-karakter yang diwujudkan menerusi filem ini.

"Masa kecil-kecil dulu, kita pernah mendengar atau menonton kisah teladan arnab dan kura-kura. Walaupun arnab berlari laju, kura-kura yang menang dalam pertandingan itu hanya disebabkan arnab berhenti untuk tidur seketika kerana yakin dia tidak mungkin dipintas oleh kura-kura.

"CKK ini mengambil karakter dua binatang itu sebagai metafora. Fadzly watak yang dibawa oleh Fizz Fairuz selaku pemilik kedai haiwan menggambarkan sifat-sifat arnab mementingkan diri sendiri. Logo kedai milik Fadzly sendiri tentera logo arnab.

Filem Cinta Kura Kura (CKK)

"Kura-kura pada dasarnya binatang peliharaan yang bersifat pasif namun keistimewaannya mampu hidup lama berbanding kebanyakan binatang peliharaan lain. Ia mampu mencapai hayat 70 tahun.

"Apabila mempunyai kehidupan yang panjang, kami kaitkan pula dengan logik manusia iaitu makin tua pastinya semakin luas pengetahuan dan pengalaman. Disebabkan itu, kura-kura boleh berfikiran jauh dan bertindak dengan bijak.

"Apa yang cuba kami bayangkan dari sudut fantasi diharap dapat diterjemahkan sudut ilmiahnya juga," kata Norman .

Menampilkan Tiz Zaqyah sebagai Nani dan Aeril Zafril (Adam) dan Bob (Amin), CKK bakal menjengah pawagam seluruh negara 1 Mac ini mengisahkan seorang gadis ceria berusia 21 tahun, Nani, bersama binatang peliharaannya, Nico (meminjam suara Zizan Razak).

Nico seekor kura-kura spesies terancam dan ia mempunyai kelebihan luar biasa iaitu boleh bercakap dengan manusia (sekiranya ia mahu melakukannya). Kisah romantik komedi ini bermula pada saat Nani berpindah ke rumah abangnya, Amin.

Jiran Nani, Adam jatuh hati dengannya sejak kali pertama dia memandangnya. Tetapi Nico tidak suka dengan Adam lalu berusaha mensabotaj usaha Adam untuk mendekati Nani.

Pada masa yang sama, Nico lebih suka jika Nani berpacaran dengan calon kegemarannya sendiri iaitu Fadzly, seorang pengurus kedai haiwan. Bagaimanapun, Fadzly mempunyai motif jahat mendekati Nani, bertujuan menculik Nico untuk dijual ke sebuah restoran sebagai makanan eksotik.

Selain Nico, dua lagi karakter kura-kura diwujudkan iaitu Tok dan Mira, meminjam suara dua pengacara Hot FM, Syed Asri atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha dan Fara Fauzana.

Ditanya relevan di sebalik pinjaman karakter Usop Wilcha yang menjadi identiti filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, Norman berkata, suara penyampai radio itu berkarakter dan bersesuaian untuk watak Tok selain bakal menjadi tarikan.

"Tok adalah watak kura-kura tua yang diwujudkan untuk menjadi pencerita filem ini. Seorang pencerita, suara mereka harus punya tarikan dan suara Usop sangat mudah dicam.

"Manakala Fara, kita tahu dia punya kelebihan meniru mimik suara dan untuk cerita ini, dia bertutur menggunakan dialek Kelantan. Nico pula memang kita mahukan suara Zizan yang penuh aksi komedi.

"Kami membentuk CGI (imej janaan komputer) watak tiga kura-kura ini mengikut cara Zizan, Fara dan Usop berdialog," katanya.

Sementara itu, Nizam selaku pengarah mengakui berpuas hati dengan hasil keseluruhan CKK yang menggabungkan karakter animasi dan realiti. Teknik CGI meskipun masih ada kekurangan namun ia adalah yang terbaik setakat ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top