Kerja keras Didie Alias selepas nekad kembali aktif dalam dunia lakonan berhasil apabila nama Didie masih kekal dalam senarai Top 5 Artis Komedi Wanita Popular ABPBH 2011. Ia pencalonan ketiga diterima Didie yang kembali mendapat kepercayaan beraksi di depan kamera selepas membintangi drama, Labuna Labuni di samping Enot.

Didie Alias

"Ia sesuatu yang di luar jangkaan saya. Bayangkan pada usia hampir 40 tahun, peminat masih menerima dan meletakkan saya dalam senarai popular. Anehnya putaran hidup ini. Alhamdulillah, Tuhan sentiasa membentangkan laluan rezeki selesa untuk saya nikmati. Melihat apa yang saya lalui dulu, saya bersyukur kerana diberi Tuhan kekuatan untuk terus bertahan dalam bidang ini.

"Orang lain mengecap kemasyhuran dan populariti pada usia muda, saya pula cuma menikmatinya ketika usia matang. Namun itu rezeki masingmasing, saya tidak pernah mengeluh atau menyesal," katanya yang nekad meninggalkan karier lakonan ketika namanya mula di puncak kerana mendirikan rumah tangga pada 1992.

Didie menjelaskan, tiada siapa tahu getir dilaluinya ketika kembali mahu membina tapak sebagai pelakon selepas perkahwinan pertama rebah di pertengahan jalan. Kegagalan itu membawa Didie mengalihkan fokusnya kepada kerjaya di balik tabir. Status yang berubah itu, sekelip mata membuatkan ada segelintir memperlekehkan dirinya. Biarpun terkilan, Didie akur untuk bertahan kerana semangat juangnya sebagai insan seni begitu tinggi.

"Saya pernah berada di bawah, tempat di mana tiada siapa yang memandang dan mengambil tahu hal kita. Saya tidak kecewa, sebaliknya situasi itu menyuntik keazaman tinggi untuk saya bekerja kuat. Syukur kerana Tuhan memberikan saya peluang kedua. Peluang yang jarang diperoleh ramai orang, namun saya diberi kesempatan kembali mengecap populariti. Disebabkan itu saya serius menjaga kerja," katanya yang sentiasa mencabar diri memberikan persembahan terbaik dan menolak sifat malas.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top