ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 50, berkata sebagai bapa, dia memberikan kebebasan dan ruang kepada Shila untuk menjalani proses normal yang dilalui oleh golongan muda-mudi.
“Fasa berkawan dan bercinta adalah perjalanan kehidupan biasa yang pasti dilalui oleh golongan muda-mudi.
“Selagi Shila mengikut landasan yang betul dan mengikut batas agama dan budaya, saya tiada halangan untuk dia berkawan dengan mana-mana lelaki,” katanya kepada mStar Online.
Ketika ditanya berhubung kemesraan Shila dan pelakon Sharnaaz Ahmad yang dikatakan sering mencanangkan hubungan mereka di laman sosial Twitter, penyanyi lagu Diari YB itu berkata dia tidak boleh menghalang persepsi dan pandangan orang ramai mengenai senario itu.
“Persepsi dan penilaian setiap orang tentang sesuatu perkara adalah hak mereka yang melihat.
“Orang boleh berkata apa sahaja tetapi sebagai bapa saya lebih mengetahui gerak-geri anak saya. Sama ada saya atau ibunya sentiasa ada di sisi Shila pada setiap masa.
“Setakat ini, tiada apa yang keterlaluan atau perkara pelik yang berlaku walau dengan sesiapa pun dia berkawan,” katanya.
Sempat ditanya mengenai reaksinya mengenai hubungan Shila dan pelakon muda itu, ND Lala berkata:
“Sebagai manusia biasa, saya tidak boleh meramalkan apa yang akan berlaku pada hari esok dan tidak tahu ke peringkat mana hubungan mereka akan pergi.
“Saya tidak keberatan jika dia berkawan dengan sesiapa pun kerana ia adalah proses yang normal.
“Namun, keutamaannya kini adalah pada kerjaya dan keluarga terlebih dahulu kerana dia masih muda.” ~ Mstar
0 ulasan:
Catat Ulasan