Pasti ramai tidak dapat melupakan wajah manis yang pernah popular dengan lagu, Di Persimpangan Dilema ini satu ketika dahulu.
Mula mencipta nama pada 1994 menerusi album pertamanya yang berjudul Sandiwara, pemilik nama Wan Norafizah Ariffin atau lebih dikenali sebagai Nora J ini dilihat masih selesa berada dalam industri seni biarpun tidak sepopular dulu.
Bahkan isteri kepada komposer terkenal, Johan Nawawi, ini tidak pernah dihimpit sebarang kontroversi sama ada mengenai kehidupan peribadi, mahu pun pergolakan rumah tangga, sepanjang 20 tahun perkahwinannya.
Bercerita mengenai rahsia perkahwinan mereka, ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, mereka tidak pernah mempunyai sebarang rahsia untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga yang dibina.
Baginya, sikap saling memahami antara satu sama lain adalah perkara yang paling penting dalam sesebuah rumah tangga itu.
"Sedar tak sedar sudah 20 tahun kami bersama, sebenarnya memang tiada sebarang rahsia. Cuma bila ada yang bertanya 'resepi' kebahagiaan kami, saya cuma memberitahu bahawa antara satu-satu pasangan itu perlulah mempunyai persefahaman.
"Ada kalanya apabila berlaku masalah antara kami, kami lebih senang duduk bersama, berbincang dan menyokong antara satu sama lain. Selain itu apa yang paling penting kami sentiasa menitik beratkan pegangan agama dalam kehidupan.
"Insya-Allah selain sifat bertolak ansur, pegangan agama yang ada membantu kami menjalinkan hubungan dengan lebih tenang," katanya.
Menurut Nora, walaupun mereka sama-sama terlibat dalam industri seni, tetapi mereka tidak mempunyai masalah untuk meluangkan masa bersama.
"Baik saya mahupun Johan sudah faham karier masing-masing. Biasanya kalau dia sibuk, saya akan menguruskan keluarga sepenuhnya begitu juga sebaliknya.
"Malah anak-anak juga sudah faham kerjaya ibu dan bapa mereka. Cuma apabila hari minggu kami tetap mencari masa untuk bersama," katanya.
Bersatu dalam animasi
Biarpun agak lama menyepi daripada bidang nyanyian, namun kerinduan peminat terubat apabila Nora tampil dengan projek animasi, Ummi... Ceritalah Pada Kami (UCPK).
“Kami masih mentah dalam bidang ini. Banyak lagi perkara perlu dipelajari, bagaimanapun percubaan pertama ini diharap mendapat sokongan semua pihak. Jika ada kekurangan, kami akan berusaha memperbaikinya dan memberikan yang terbaik.
“Pun begitu, kami sedaya upaya menghasilkan siri animasi ini sebagai kesedaran bagi menghidangkan program bermanfaat kepada kanak-kanak,” katanya yang ditemui ketika majlis pelancaran animasi itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sempena Karnival ICT NEF-Awani 2012, baru-baru ini.
Ujarnya, idea menghasilkan siri tersebut juga lahir atas kesedarannya sebagai seorang ibu.
“Penerbitan animasi adalah jawapan terbaik menarik perhatian anak-anak mendekati program pendidikan berunsur islamik memandangkan mereka lebih menggemari sesuatu yang bersifat comel dan menghiburkan.
“Saya benar-benar berharap kami dapat menyuntik rasa kasih dan menerapkan nilai-nilai positif ke dalam diri mereka ketika menonton siri ini,” katanya yang turut menerima sokongan dana daripada Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) dalam penerbitan tersebut.
Sementara Johan Nawawi, selaku CEO Hud Hud Media Sdn Bhd berkata, UCPK adalah siri animasi 3D muzikal khusus untuk tontonan kanak-kanak dan seisi keluarga.
“Ia dihasilkan cetusan daripada idea isteri saya sendiri lebih kurang dua tahun lalu. Bagi projek ini saja, seramai 20 pelukis animasi ditugaskan untuk menjayakannya. Malah kami sebenarnya memerlukan lebih tenaga mahir untuk siri animasi ini," katanya.
Jelasnya, siri berkenaan kini sudah pun siap sepenuhnya dan masih dalam proses perbincangan untuk menentukan di saluran mana ia akan disiarkan.
“Masa siaran juga belum diputuskan, tetapi kemungkinan pun paling awal adalah pada Ramadan nanti,” katanya.
Bercerita mengenai keistimewaan siri animasi ini, Johan berkata, Ummi adalah siri animasi 26 episod yang disuntik dengan elemen hiburan dan nilai pembelajaran mengenai agama.
“Dalam setiap episod, penonton bukan saja disajikan nyanyian dan lagu mudah difahami setiap karakter, ia juga sarat dengan mesej berbentuk ibadah.
“Ia berkisarkan seorang wanita iaitu Ummi yang mengajar di sebuah pusat transit dinamakan Pondok Ummi. Kanak-kanak yang baru balik dari sekolah akan ke pusat berkenaan sementara menunggu ibu bapa mengambil mereka. Maka, di situlah peranan Ummi bercerita mengenai kisah-kisah agama yang diambil daripada Sirah di samping memberi nasihat berkaitan hal-hal moral kepada kanak-kanak,” katanya.
Dengan menggunakan teknologi dan efek kualiti berdefinisi tinggi (HD), Nora dan dua anaknya, Alif,12, serta Putri Dahlia,8, turut menyumbang suara dalam animasi ini. Tidak ketinggalan, anggota kumpulan Voices of Ummi, Aiman Abbas, 14, Hana Hamdan, 11, dan Jihad Hamdan,8.
Ke mana tumpahnya kuah...
Ditanya mengenai pembabitan anak-anaknya dalam bidang seni, Nora mengakui dia dan Johan tidak pernah menghalang bakat seni yang ada dalam diri anak mereka.
Malah dia turut berbangga kerana baik Alif atau Putri, mampu menyanyi dan mencipta lagu dengan baik biarpun masih kecil.
“Alhamdulillah, saya benar-benar bersyukur kerana mereka mewarisi bakat seni daripada kami. Keistimewaan yang ada dalam diri mereka adalah anugerah yang tidak terhingga dan saya sendiri senang dengan kebolehan mereka.
“Malah Alif sendiri sudah biasa menyertai pertandingan nyanyian di sekolah kerana minatnya terhadap bidang ini. Seperti Alif, Putri juga selain boleh menyanyi dengan baik," katanya.
Menurut Nora, anak-anaknya turut menjalani uji bakat sebelum terlibat dalam album, Voice Of Ummi (VOU), yang dihasilkan tahun lalu.
"Kami memang menjalankan uji bakat di kalangan kanak-kanak lain bagaimanapun suara Alif dan Putri lebih sesuai untuk album tersebut. Jadi kami mengambil keputusan untuk menjadikan mereka penyanyi utama. Lagi pun mereka memang gembira diberikan peluang menjayakan album tersebut," katanya.
Pendidikan tetap utama
Biarpun anak mengikut jejak dalam bidang seni, bagi Nora, pelajaran harus diutamakan dan besar harapannya melihat anak-anaknya berjaya dalam akademik.
"Saya mahu mereka fokus dan memberi sepenuh perhatian terhadap pembelajaran. Pendidikan sangat penting dalam kehidupan. Walaupun menunjukkan minat tinggi terhadap bidang ini, tetapi saya tidak pernah menggalakkan mereka untuk terus serius.
“Lagi pun mereka menyanyi hanya untuk suka-suka bahkan mereka pernah berkata kepada saya untuk tidak menjadi penyanyi apabila dewasa. Pun begitu, perjalanan mereka masih jauh, apa yang penting saya dan Johan pasti akan memandu mereka ke jalan yang lebih baik, Insya-Allah," katanya.
Sesibuk mana sekalipun dengan karier seni, kata Nora, keutamaan tetap terhadap keluarga. Malah dia akan pastikan tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak akan didahulukan.
0 ulasan:
Catat Ulasan