Cuci The Musical, Last Kopek!

Tiket-tiket Cuci The Musical: Last Kopek! boleh dibeli di www.ticket2u.biz dan anda juga boleh dapatkan terus di kaunter tiket IB dengan variasi harga RM 53, RM 123, RM 163, RM 183, RM 203, dan RM 303. Anda juga boleh hubungi talian Hotline di 010-2102656 untuk sebarang maklumat lanjut.

Poster Cuci The Musical: Last Kopek!


---------------

Tall Order Production membawakan Cuci The Musical, Last Kopek yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya . Panggung berprestij dan bertaraf antarabangsa yang boleh memuatkan lebih dari 1400 orang itu akan menyaksikan persembahan teater muzikal di bawah pimpinan seorang produser yang serba boleh, Hans Isaac. Kali ini, Cuci The Musical (CTM) akan dipentaskan buat kali yang ketiga di Istana Budaya pada 2 hingga 18 Mac 2012 kelak.

Di sebuah sidang media yang diadakan di Laman Sari, Istana Budaya, pasukan Cuci The Musical menggabungkan para pelakon lama yang datangnya dari musim yang pertama dan kedua serta beberapa kemunculan wajah-wajah baru, khas untuk musim ketiga yang juga merupakan musim yang terakhir ini.

Antara wajah-wajah lama yang kekal dari CTM musim yang pertama adalah seperti Hans Isaac, Afdlin Shauki, Awie dan Vanidah Imran. Manakala Nabil yang menyertai CTM pada musim kedua untuk mengisi kekosongan watak Ctan kini digabungkan dengan wajah baru untuk musim yang ketiga seperti Dina Nadzir, Harun Salim Bachik, Douglas Lim dan Reefa.

Kali ini, CTM membawa lebih dari 230 orang pelakon dan ahli produksi dengan pimpinan seorang koreografer baru iaitu Azwa. CTM dibawakan sekali lagi ke pentas IB kerana permintaan ramai. Maka, untuk memenuhi permintaan itu juga, sebanyak 22 buah persembahan telah dijadualkan sepanjang 16 hari tayangan.

Jika sebelum ini Harith Iskander turut sama terlibat dan melakonkan watak Wira di dalam musim yang pertama dan kedua, namun kini wataknya itu telah digantikan dengan Douglas Lim yang sendiri mengaku bahawa dia boleh bertutur di dalam bahasa Melayu dengan baik. Apa yang pasti, penuh gelak ketawa majlis sidang media yang diadakan pada lewat jam 3 petang itu. Ternyata gabungan para pelakon yang tersenarai ini mempunyai tahap keserasian yang tinggi dan selesa dengan satu sama lain.

Pakej lengkap adik beradik yang mempunyai satu hasrat yang sama, untuk menjadikan impian mereka menjadi realiti, mencuci menara berkembar Petronas, yang tinggi dengan saingan yang kuat dari pasukan Wira Maju. Masih dengan tema dan juga jalan cerita yang sama, cuma yang berbeza adalah lawak yang bakal mereka tampilkan yang menurut pihak produksi sendiri, hampir setiap malam, ada sahaja yang berubah dan diubah.

Manakan tidak, Afdlin Shauki dengan lawak spontan, ditambah pula dengan kelucuan bakat serba boleh rocker tanah air kita, Awie dan juga tukang tambah cerita, Nabil Ahmad serta bantuan dari Hans Isaac yang turut sama melayan kerenah mereka semua sudah cukup menggambarkan tahap hiburan yang bakal anda perolehi.

Teater Cuci The Musical, Last Kopek

Gabungan ini merupakan antara gabungan yang dianggap mencabar oleh Vanidah Imran sendiri yang mengaku bahawa dia perlu menyesuaikan diri dan cabaran yang sukar adalah untuk terus fokus berlakon serta tidak tergelak melayan kerenah gabungan empat beradik itu.

Untuk musim ini, Vanidah turut memberitahu yang dia mempunyai cabaran baru. Untuk berlakon bukan hanya dengan satu watak lama dengan penampilan bakat baru, malah perlu membiasakan diri dengan tiga pelakon yang baru untuk musim ketiga ini. Jika untuk Afdlin, Awie, Hans dan Nabil, lakonan mereka masih lagi menggabungkan cerita dengan watak yang sama, namun lain pula menurut Vanidah. Ini kerana, watak setiausaha kepada CJ, iaitu Farah yang sebelum ini dilakonkan oleh Adibah Noor kini telah diambil alih oleh penyampai radio ERA iaitu Dina Nadzir.

Nampaknya, selepas Dina berjaya membawakan watak Effie White di dalam pementasan Dreamgirls pada bulan Julai tahun lalu telah menarik perhatian Penerbit Eksekutif produksi teater ini, Hans Isaac untuk mengambilnya menyertai CTM musim ketiga ini. Kebolehan Dina menyanyi dan berlakon dengan baik adalah satu daya tarikan untuk para peminat anak seni yang berasal dari Johor Bahru yang kini bertugas sebagai penyampai radio ERA untuk segmen Muzik ERAthon.

Cukup sampai di sini cerita mengenai Cuci The Musical yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 2 hingga 18 Mac 2012. Tiket-tiket sudah mulai dijual di www.ticket2u.biz dan boleh dapatkan terus di kaunter tiket IB dengan variasi harga RM 53, RM 123, RM 163, RM 183, RM 203, dan RM 303. Anda juga boleh hubungi talian Hotline di 010-2102656.

Anda pilihlah harga yang bertepatan dari rangkaian harga yang akan memberikan anda impak hiburan tontonan yang dijamin menghiburkan hati. Jangan lupa, saksikan Cuci The Musical, Last Kopek pada bulan Mac akan datang!

Oleh Liza Ramli
Kredit: Era

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top