Yusry terasa remaja semula bersama Lisa
Dekat 6 tahun hidup menduda selepas bercerai dengan pelakon Erra Fazira, Yusry pernah berasa tidak mahu jatuh cinta lagi.

Malah, Yusry Abdul Halim juga mengakui dia sudah tidak mempercayai akan kuasa cinta yang dulu pernah dikecapinya, tetapi kemudian membawa luka yang parah kepada kehidupan.

Namun, sebagai hamba Allah SWT, siapalah kita yang mahu menidakkan, lantaran segala ketentuan hidup adalah didalam kuasa-Nya.

Yusry
Kehadiran wanita bernama Lisa Surihani Mohamed dalam hidup Yusry telah merubah segala-galanya.

Pintu hati yang dulu terkunci rapat untuk menerima cinta daripada mana-mana wanita kini sudah terbuka luas.

Kata Yusry, Lisa telah menjadikan dirinya sebagai orang baru dan memberi keyakinan untuk kembali merasai nikmat cinta.

“Bertemu dengan Lisa adalah sesuatu yang tidak pernah saya sangka akan berlaku sekali lagi. Ia membuatkan diri ini seperti seorang remaja yang baru hendak menjalinkan hubungan cinta pula.

“Saya sendiri tidak pernah sangka akan kembali melalui fasa ini sebelum membuat keputusan untuk menamatkan zaman duda.

“Alhamdulillah, kini Allah SWT telah mempertemukan dengan seorang wanita yang sangat saya cintai dan kami mahukan perkahwinan ini terus kekal sehingga ke akhir hayat,” demikian luahan hati Yusry dengan ketawa ceria dalam sidang akhbar ringkas usai majlis pernikahan yang berlangsung di Hotel Marriott, Putrajaya, malam Jumaat lalu.

Menyambung bicaranya, Yusry yang segak berbaju Melayu rekaan Taufik Tailor pada malam bersejarah itu juga mengakui debaran kencang yang dialaminya sepanjang majlis berlangsung.

Walaupun pernah berhadapan dengan situasi yang sama enam tahun lalu saat bernikah dengan bekas isteri, tetapi kata anak kedua daripada empat beradik itu, perasaan itu cukup berbeza menjelang ijab kabulnya dengan Lisa.

“Kalau tengok dari segi luarannya, pasti ramai yang menyangkakan saya tenang. Namun gelodak di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.

“Lebih-lebih lagi apabila melihat Lisa yang lebih tenang daripada saya ketika detik-detik sebelum ijab kabul kami, ia menambahkan lagi debaran di dada saya.

“Syukur kepada Allah kerana semuanya berjalan dengan lancar seperti mana yang dirancang,” ujar anggota kumpulan KRU berusia 38 tahun itu lagi.

Menyentuh tentang keistimewaan Lisa di matanya, sambil merenung ke arah isteri di sisi, Yusry cukup mengagumi nilai budi bahasa yang dimiliki pelakon filem Ombak Rindu itu.

Kata Yusry, apabila bersama dengan Lisa, dia tidak perlu menjadi orang lain kerana isterinya itu juga seorang yang cukup merendah diri.

“Untuk saya menyenaraikan keistimewaan Lisa, ia memang banyak. Tetapi apa yang boleh dikatakan, dia mudah menyesuaikan diri dengan semua orang tanpa mengira usia, baik daripada kanak-kanak sehinggalah ke orang tua. Itu yang membuatkan saya kagum dengan dia.

“Mungkin ada yang berkata, waktu bercinta semuanya indah belaka. Akan tetapi sebagai lelaki dan suami, saya memang bersedia menerima segala kekurangan yang ada pada Lisa. Sebagai manusia, kita sememangnya tidak sempurna.

“Kadang-kala kalau dia sedang marah, ia tidak kelihatan di wajahnya. Sampai saya perlu bertanya kepadanya adakah dia baik-baik sahaja atau sebaliknya,” kata pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa itu sambil ketawa kecil.

Meskipun gugup dan gementar, Yusry berjaya melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz sahaja sebelum sah menjadi suami kepada pelakon wanita popular itu.

Pasangan popular itu dinikahkan sendiri oleh abang sulung Lisa, Mohamed Azan Mohamed di hadapan Pegawai Tadbir Agama Daerah Sepang, Halim Mat Isa.

Dalam majlis yang turut dihadiri seramai 250 orang tetamu termasuk teman rapat dan kaum keluarga kedua belah pihak menyaksikan pengantin perempuan menerima tujuh dulang hantaran termasuk seutas rantai leher platinum sebagai mas kahwin.

Sebagai balasan, pihak pengantin perempuan memberikan sembilan dulang yang digubah indah oleh Cosry dengan kerjasama Eliza Ellies Wedding yang terdiri daripada bunga rampai, tepak sirih, cincin, kelengkapan sembahyang, pakaian lelaki dan coklat.

Mengetahui minat suaminya yang mendalam terhadap muzik, Lisa turut memberikan keyboard, koleksi lagu lama kumpulan The Beatles dan kek berbentuk gramofon sebagai hantaran.

Biarpun menjalinkan hubungan cinta dalam waktu yang singkat selepas hampir setahun berkenalan, bagi Lisa ia bukanlah satu masalah buatnya untuk menerima Yusry sebagai arjuna dalam hidupnya.

“Hubungan kami bukannya suka-suka atau sekadar mahu mencuba. Kami serius dalam perhubungan ini dan atas alasan itu, kami memang sepakat untuk membawanya ke jinjang pelamin.

“Ada sesuatu di dalam diri yang mengatakan memang inilah lelaki yang akan bersama dengan saya sehingga ke akhir hayat, Insya Allah.

“Yusry cukup istimewa di mata dan hati saya. Dengan perkahwinan ini juga, ia membuka ruang untuk kami terus mengenali hati budi masing-masing. Tiada lain yang diharapkan melainkan doa daripada semua orang agar kami kekal selama-lamanya,” kata Lisa dalam nada yang cukup tenang.

Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 yang kelihatan anggun dengan baju kurung moden putih bersih itu juga menyatakan kesediaannya untuk bergelar ibu.

Sambil mengerling manja ke arah suaminya, Lisa mengimpikan untuk memiliki sekurang-kurangnya empat orang cahaya mata.

“Kami memang sudah bersedia untuk memulakan keluarga sendiri tetapi kami menyerahkannya kepada Yang Maha Esa. Bab anak ini adalah soal rezeki. Tidak kira cepat atau lambat, kami menerimanya dengan senang hati,” jelas Lisa lagi.

Pasangan ini akan berbulan madu di Eropah bermula di Switzerland dan ke beberapa buah negara lain selama tiga minggu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top