Slot 9X di TV9

TV9 melancarkan slot baru bernama 9X yang mengetengahkan konsep kreativiti dan ekspresi diri remaja dan belia. Slot 9X akan menemui penonton bermula 20 Februari ini, setiap hari Isnin hingga Rabu jam 10.30 malam.

Slot 9X yang menampilkan idea segar lagi bernas ini akan menampilkan program yang sesuai dengan jiwa remaja yang sentiasa inginkan kelainan serta berkarya secara kreatif. TV9 yang sebelum ini banyak muncul dengan program keagamaan mahupun bual bicara kali ini mengambil pendekatan berbeza menerusi slot ini.

Bersesuaian dengan usaha TV9 yang sentiasa memberikan kelainan dan menyuntik elemen baru dalam idea-idea mereka, Pengurus Besar TV9, Cik Sherina Nordin berazam untuk terus menjadikan saluran itu sumber inspirasi kepada penonton TV9.

“9X berperanan sebagai platform bagi golongan remaja di luar sana untuk menyerlahkan keupayaan dan bakat mereka. Sentuhan anak muda ini pasti dapat memberikan dimensi berbeza takrifan kreativiti seni itu sendiri”, jelas Sherina.

Sejajar dengan slogan TV9 iaitu “Di Hatiku”, sisi TV9 kali ini menerusi slot 9X diharap dapat memberikan kepuasan kepada para penonton. GUA doakan slot 9X ini mampu membawa kejayaan kepada TV9 sama seperti Idola kecil, Galaksi, Hip TV serta beberapa program terbitannya yang lain.

Pembaca yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai slot 9X ini boleh melayari laman web rasmi slot berkenaan, www.tv9.com.my/9X . Selain dari itu, para penonton boleh mengikuti perkembangan TV9 dari semasa ke semasa menerusi laman sosial www.facebook.com/tv9dihatiku dan www.twitter.com/tv9malaysia .

INFO SLOT 9X

Aizat Gegar NZ – Mulai 20 Februari, Setiap Isnin, 10.30 malam
Saksikan kemesraan hubungan kekeluargaan Aizat Amdan sewaktu bercuti di New Zealand bersama 30 ahli keluarganya yang lain. Program realiti 4 episod ini sememangnya menjanjikan penonton dengan aksi bertenaga, cemas serta gelagat keluarga Aizat yang menjalankan aktiviti seperti ‘Bungee Jumping’ di sana.

Teenwolf – Mulai 21 Februari, Setiap Selasa 10.30 malam
Drama yang menjadi hits di Amerika Syarikat ini mengisahkan kehidupan seorang remaja, Scott McCall yang berubah menjadi seekor ‘manusia serigala’ akibat diserang seekor serigala. Saksikan Scott berhadapan pelbagai tragedi termasuklah apabila keluarga teman wanitanya, Alison Argent adalah pemburu serigala!

Pulau – Mulai 22 Februari, Setiap Rabu, 10.30 malam
Drama sebanyak 8 episod ini memamparkan perjalanan sekumpulan remaja yang memenangi pakej pelancongan ke Pulau Sanggar. Kemalangan menimpa mereka sewaktu dalam perjalanan ke pulau misteri tersebut. Seorang demi seorang dari mereka mati dibunuh dengan kejam. Terungkaikah misteri pulau tersebut dan siapa pula yang menjadi pembunuh? Drama arahan Azma Aizal Yusoof ini menampilkan lakonan hebat Sharifah Amani, Bront Palarae dan ramai lagi.

Soundcheck – Mulai 19 Mac, Setiap Isnin, 10.30 malam
Saksikan rakaman siaran langsung persembahan kumpulan serta penyanyi yang sedang meningkat naik di industri hiburan tanahair. Nama-nama besar seperti Hujan, Shila Amzah, Awi Rafael, Tomok, Aizat Amdan, Monoloque serta ramai lagi akan ditampilkan dalam rancangan ini di samping paparan kisah suka duka mereka sepanjang bergelar anak seni.

9X Mix Tape – Mulai 5 Mac, kapsul 2 minit (di antara 10.30 malam – 11.30 malam)
Kolaborasi videografi amatur ddengan artis dan kumpulan muzik tempatan mengisi kandungan rancangan ini. Kreativiti serta olahan bakat anak-anak muda dalam bidang produksi ditampilkan di samping menjadi wahana promosi industri muzik tempatan. Episod pertama 9X Mix Tape memaparkan pemenang Gig TV9, Oh Chentaku berkerjasama dengan Uzair Sawal dalam menghasilkan sebuah dokumentari muzik yang bertemakan ‘tiada batasan di dalam kreativiti’.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top