Melihat potensi dimilikinya, Nichkhun dipelawa JYP Entertainment untuk sesi uji bakat dan tanpa disangka, sesuatu yang besar akan berlaku dalam hidupnya. Jejaka ini mula mencipta popularitinya sejak diperkenalkan bersama 2PM pada 2008, lalu memilih untuk bermastautin di Korea bagi memperluaskan bakatnya.
"Kehidupan di Korea serabut, malah sering mengelirukan. Ada saja yang mahu dilakukan. Sekali pun tidak terikat dengan jadual kerja, saya perlu bangun untuk bersenam atau menjalani latihan. Setiap hari saya akan melalui kesibukan berbeza. Jika semua urusan kerja selesai menjelang tengah malam, saya masih perlu menjalani latihan kecergasan sebelum masuk tidur," katanya.
Disiplin tinggi dimiliki Nichkhun membuatkan dia digilai peminat yang kagum dengan pesona tarikan fizikalnya yang hebat. Wajah bersihnya juga sentiasa dijaga rapi hingga ada yang menabur fitnah dia menjalani pembedahan plastik. Andai tidak diberitahu dia sebenarnya berasal dari Thailand, barangkali ramai menyangka Nichkhun dilahirkan di Korea kerana fasih bertutur dalam bahasa itu.
"Tidak mudah untuk belajar bahasa Korea, saya bermula kosong tanpa sebarang asas. Pada permulaan saya belajar kerana dipaksa tetapi saya bukan seorang yang gemar ke kelas.
"Saya lebih selesa tutor datang dan mengajar saya secara persendirian. Selepas bersama 2PM, pertuturan saya semakin lancar. Saya mula bercakap dengan kawan-kawan, malah persekitaran juga memaksa saya supaya pantas fasih berbahasa Korea," katanya sambil mengakui ketika awal tiba di Korea dia lebih banyak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana kebetulan seorang lagi anggota kumpulan itu, Taecyeon fasih bertutur Inggeris.
"Saya selalu dijerit jika menggunakan bahasa Inggeris, malah didenda apabila enggan berbahasa Korea. Banyak juga saya terpaksa bayar. Soal makanan saya tidak begitu kisah kerana bukan seorang yang cerewet. Pengalaman berhijrah ke negara asing pada usia muda banyak membantu saya melalui semua itu. Ketika kembali semula ke Amerika Syarikat, saya langsung tidak fasih berbahasa Inggeris. Saya terpaksa bermula dari bawah, jadi apabila berpindah ke Korea saya tidak berdepan terlalu banyak kesukaran," katanya.
Nichkhun memberitahu dia mengambil masa hampir tiga bulan sebelum memberi persetujuan untuk melancarkan karier seninya di Korea.
Kontrak yang diterima dibawa pulang ke rumah untuk perbincangan bersama kedua-dua ibu bapanya. Anehnya kata Nichkhun, ibunya seperti tidak yakin dia mempunyai bakat dalam bidang nyanyian.
"Saya tidak tahu banyak mengenai K-Pop tetapi nenek saya begitu meminati Rain. Dia ada membeli siri Full House untuk ditonton di rumah dan apabila diberitahu, saya diuji bakat oleh pengurusan yang menaungi Rain, nenek mendesak supaya menerima tawaran itu.
"Ketika itu, siri Full House begitu popular di Thailand dan China. K-Pop juga berada di puncak. Saya bertuah kerana tidak perlu berusaha keras untuk mempromosikan gelombang K-Pop," katanya.
Beralih mengenai rutin yang terpaksa dilaluinya, Nichkhun berkata, industri muzik K-Pop begitu mementingkan latihan dan penampilan. Setiap aspek itu dilakukan secara profesional. Jelasnya, sebelum seseorang artis memasarkan album mereka terpaksa menjalani latihan antara dua hingga tiga tahun.
"Industri di sana tidak akan membiarkan bintang yang dilahirkan musnah. Mereka sudah melakukan pelaburan besar, jadi tiada siapa yang mahu rugi jika kumpulan dibentuk gagal popular. Kumpulan saya sendiri bermula dengan 15 pelatih, sebelum disesuaikan untuk mencipta konsep baru dan lahir dua kumpulan iaitu 2PM dan 2AM.
"Mungkin saya bukan vokalis utama, malah lebih merasakan saya seperti maskot kepada kumpulan itu. Saya lebih menonjol dari segi imej," kata jejaka yang begitu laris dengan tawaran produk untuk pasaran Thailand.
Simpan hasrat sambung pengajian
SEHINGGA kini bintang Korea, Nichkhun masih tidak menjangka dia berjaya mencipta populariti luar biasa di negara orang, namun dia percaya, peluang itu ada pada setiap manusia selagi mereka berusa dan bekerja keras. Nichkhun tidak menafikan, dia sendiri tidak pernah terfikir mampu berdiri di depan peminat dan menghiburkan mereka kerana mudah gemuruh jika terpaksa berdepan ramai orang.
"Bila difikirkan semula, saya tidak menyangka mampu mengatasi semua perasaan itu. Syukur kerana 2PM berjaya mencipta pencapaian besar apabila memenangi Artis Terbaik dan Kumpulan Lelaki Terbaik di Mnet Music Award 2009," katanya.
Di sebalik pencapaian itu, Nichkhun masih menyimpan impian untuk menyambung pelajaran namun niat itu terpaksa ditangguhkan kerana masanya terbatas. Semakin mencintai dunia seni, Nichkhun turut terpanggil untuk mendalami dunia lakonan, selain belajar semula piano yang pernah saya lakukan selama hampir tiga tahun.
"Saya terlalu nakal ketika kanak-kanak, malah tidak serius hingga akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti belajar piano.
Apabila dewasa, saya mula sedar setiap apa yang dilakukan ibu bapa itu mempunyai manfaat dan kebaikannya. Jadual saya terlalu padat ketika zaman kanak-kanak hingga tiada masa pada hujung minggu.
"Tetapi hari ini saya bekerja keras untuk masa depan keluarga. Saya juga senang jika diberi peluang muncul dalam produksi Thai kerana saya dibesarkan di sini, cuma ramai menyangka saya artis Korea. Saya cuma menunggu masa yang sesuai. Bayangkan setiap kali pulang ke Thailand, keluarga hanya berkesempatan bertemu saya di hotel penginapan," katanya.
her handsome brother Nickhun Buck Horvejkul I'd love to see the brother-in songs (AGAIN & AGAIN) very handsome
BalasPadam# Special from sister Hazirah
nam pyeon(suami)or oppa(abang) nichkhun sarangehaeyoo amidah
BalasPadam