Pementasan Teater muzikal KL Energetik

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan pementasan teater muzikal berjudul KL Energetik selama tiga hari mulai 2 Mac 2012 bertempat di Panggung Bandaraya sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 yang disambut pada 1 Februari lalu.

Menurut Pengarah Artistik teater itu, Linda Jasmine, teater muzikal tersebut bakal memaparkan mengenai kehidupan remaja masa kini yang gemar kepada kesenian.

"Secara dasarnya teater muzikal ini adalah berkisar mengenai kehidupan golongan remaja di ibu kota tetapi kita banyak memasukkan pelbagai elemen tarian dan nyanyian supaya ia tidak membosankan," ujarnya.

Teater muzikal tersebut dibarisi pelakon seperti Zahid (AF) dan Ain (AF). Ia adalah sebuah karya Affix Zulkarnaen Adam dan arahan Zamri Pangat.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pemilihan pelakon, Linda berkata, tidak sukar untuknya memilih Zahid dan Ain kerana masing-masing mempunyai bakat dan kebolehan dalam nyanyian, tarian dan lakonan.

Linda berkata, dia juga telah mengenali kedua-dua mereka semasa menjadi guru ketika menyertai pertandingan realiti Akademi Fantasia tidak lama dulu.

"Saya telah mengenali Zahid cukup lama dan tahu mengenai kebolehan dirinya. Pemilihan dia untuk teater ini tidak sukar kerana dia sememangnya seorang yang berbakat besar," ujarnya.

Sementara itu, Linda memberitahu, pada persembahan itu nanti ia turut menampilkan lebih 30 penari profesional gabungan daripada artis budaya DBKL dan Linda Jasmine Performing Arts Studio.

Ujarnya, latihan masih hebat dijalankan dan yakin ia akan memberi kepuasan kepada penonton apabila dipentaskan kelak.

"Saya yakin ia akan disukai oleh penonton kerana pelbagai elemen yang digabungkan di dalamnya," ujarnya.

KL Energetik yang mula dipentaskan pada 8 malam turut menampilkan anak lelaki Linda iaitu Qalif Khan yang berusia 12 tahun sebagai pelakon.

Dalam perkembangan lain persembahan kebudayaan Uzbekistan turut akan diadakan di Panggung Bandaraya, DBKL bermula Jumaat ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata persembahan kebudayaan KUL-Uzbek 2012 anjuran bersama DBKL dan Kedutaan Uzbekistan di sini itu diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 hubungan diplomatik antara Uzbekistan dan Malaysia.

"Persembahan nyanyian tersebut akan berlangsung selama satu jam dan bermula pada pukul 8 malam di Panggung Bandaraya, Jalan Raja, di sini.

"Ia akan disampaikan oleh penyanyi popular Uzbekistan, Ilhom Farmonov dengan diiringi tarian kebudayaan mereka," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top