Isnin lalu, tepat jam 6.06 petang industri hiburan tanah air kehilangan seorang lagi artis berkaliber yang pergi buat selama-lamanya menghadap Sang Pencipta. Penyanyi dan pelakon era 70-an, Abdul Latiff Ibrahim atau mesra disapa Latiff Ibrahim, 62, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN, sejak Sabtu lalu akibat sakit jantung dan komplikasi penyakit lain seperti kencing manis dan paru-paru. Sehubungan itu, arwah turut meninggalkan seorang balu, Masria Mahadan, 54, dan dua orang anak Mohd Hazriq, 34, dan Haznelly, 32.
Selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, sebelum solat Zuhur semalam, Allahyarham disifatkan seorang rakan yang cukup baik dan disenangi ramai. Menurut rakan rapat arwah, penyanyi dan pelakon Halil Chik, 61, Allahyarham orangnya lucu dan mereka sering keluar bersama.
Ujarnya, kali terakhir mereka bertemu pada Jumaat lalu kerana menemani arwah yang teringin menikmati hidangan ‘stimbot’ di pusat membeli-belah Jusco AU2, Keramat. Kata Halil, arwah memang nampak sihat dan sehari selepas pertemuan itu pun ketika dihubungi, dia (arwah) akui dia OK saja.
“Apapun, saya terkejut juga apabila dimaklumkan oleh anaknya, Mohd Hazriqk menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang arwah nazak di IJN. Kini, saya kehilangan seorang rakan yang baik hati. Arwah suka mengajak rakan-rakan keluar bersama dan suka belanja makan. Memang sudah sikapnya begitu.
“Malah, arwah paling pantang kalau rakan yang menemaninya membelanja. Katanya, dia yang mahu bertemu dan mengajak keluar, jadi mestilah arwah yang mahu belanja makan. Sebagai rakan karib, saya sudah faham sangat dengan sikapnya yang tidak berkira serta amat menyenangkan itu.
“Cuma, saya dan beberapa rakan lain sedikit terkilan kerana ada hasrat arwah yang tak kesampaian. Kira-kira lapan bulan lalu, arwah pernah menyuarakan kepada saya dan beberapa rakan lain mengenai impiannya untuk mengumpulkan artis era 70-an untuk menjayakan persembahan di Istana Budaya (IB).
“Kami semua bersetuju dengan cadangan arwah dan sempat jugalah membuat perbincangan. Bagaimanapun, tindakan selanjutnya tidak dapat kami lakukan kerana arwah sudah mula kurang sihat. Justeru, selepas kematian arwah nampaknya impian itu tidak kesampaian dan mungkin saja takkan dianjurkan,” katanya.
Menurut Halil, Allahyarham seorang anak seni sejati yang cukup mencintai nyanyian. Katanya, kalau arwah menyanyi, pasti lupa pada sakitnya dan dia nampak sihat saja. Namun, selepas persembahan mulalah dia mengadu sakit dada dan penat. Bagi arwah, muzik bagaikan terapi dan memberinya tenaga.
Kata Halil lagi, atas sebab itu juga arwah sangat bersungguh-sungguh dalam nyanyian. Sama ada sihat atau kurang sihat, arwah tak pernah mengeluh dengan kerjanya. Bagi arwah, apa yang penting tidak menghampakan peminatnya dan menghiburkan mereka. Arwah juga bijak menguruskan masa.
Biduanita negara, Datuk Sharifah Aini pula berkata, beliau sedih kerana kehilangan seorang sahabat yang cukup memahami, baik hati dan menyenangkan. Katanya, kali terakhir beliau bertemu arwah kira-kira lima bulan lalu ketika Latiff datang ke rumahnya atas undangan makan malam.
“Kami juga selalu berhubung untuk bertanya khabar antara satu sama lain kerana sudah bersahabat lama. Arwah pun pernah meluahkan rasa sedih kerana ditipu pengurus acara yang tidak membayarnya. Justeru, saya mengharapkan sesiapa yang berhutang kepada arwah supaya membuat pembayaran kepada warisnya.
“Adat berhutang, haruslah dibayar. Lebih-lebih lagi, orang yang dihutang itu pun sudah meninggal dunia. Sepanjang mengenali Latiff, dia terlalu baik hati dan seorang yang tiada musuh. Sewaktu saya menziarah jenazahnya, hati ini cukup sebak apabila melihat dia seperti orang yang tidur dengan nyenyak.
“Wajahnya cukup tenang dan lebih sayu lagi apabila kediaman arwah dikunjungi ramai orang untuk menziarah buat kali terakhir. Biarpun, berita kematiannya baru dihebahkan tetapi sama ada artis baru dan lama serta masyarakat setempat tidak putus-putus hadir ziarah dan menghulurkan doa,” katanya.
Mesra dengan panggilan Kak Pah, katanya itulah dia Latiff Ibrahim. Seorang individu yang cukup disenangi ramai kerana sikapnya yang terlalu baik. Sehubungan itu, industri seni tanah air kehilangan sebutir bintang hebat yang pastinya tiada galang ganti.
Mengimbau kembali zaman kegemilangan arwah yang berasal dari Jasin, Melaka adalah cucu kepada pelakon era 50-an, Aman Belon. Arwah memulakan kerjaya seni sebagai pelakon drama terbitan RTM bermula pada 1975. Setahun kemudian arwah ‘terjun’ ke dunia layar perak menerusi Hapuslah Airmatamu, arahan M Amin.
Arwah yang terus aktif berlakon, kemudiannya membintangi filem seperti Sumber Ilhamku, Bintang Pujaan dan Dendang Perantau. Malah arwah, turut muncul dalam drama seperti Di sini Cemerlang Bintangku, Berenang Dalam Lumpur dan Panggung RTM, Anak Seluang Jauh Melukut.
Populariti semakin memuncak membuka ruang untuk arwah dijemput menjadi artis undangan dalam program Hiburan Minggu Ini (HMI) yang dihoskan arwah Normadiah.
Bintangnya terus menyinar pada 1978 apabila ditawarkan bernaung di bawah label EMI dengan merakamkan album EP yang memuatkan empat lagu termasuk Mengharap Kasihmu dan Mengenang Dikau Kembali.
Ketika zaman kegemilangannya, Allahyarham pernah bekerjasama dengan komposer Datuk Ahmad Nawab, malah sempat menghasilkan dua lagi album (LP) yang memuatkan dendangan popular seperti Pilihanku, Nora dan Manis Kata Di Bibir Saja.
Oleh Norhayati Nordin
Metro
0 ulasan:
Catat Ulasan