Kumpulan rock Guns N' Roses bakal menghangatkan konsert Grand Prix Formula 1 Petronas Malaysia pada 24 Mac ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Kuala Lumpur.

Ditubuhkan di Los Angeles pada tahun 1985, kumpulan itu masih kekal di antara nama paling digemari oleh penggemar muzik rock di seluruh dunia.

Kehadiran mereka juga bersempena sambutan ke 15 tahun Grand Prix Formula 1 Malaysia.

"Ini adalah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke Malaysia dan peminat tidak akan kecewa dengan persembahan yang bakal ditampilkan," kata Ketua Pegawai Operasi SIC, Datuk Razlan Razali.

Pada tahun 2009, bintang pop British, Jamiroquai telah memukau 20,000 penonton pada persembahan sama dan Razlan menjangkakan rekod itu akan diperbaharui dengan kehadiran Guns N' Roses.

Guns N’ Roses masih mempunyai peminat yang sangat ramai dan kehadiran mereka akan menarik minat penonton yang menyaksikan perlumbaan pada hari itu untuk terus kekal sehingga konsert selesai.

"Berita baiknya mereka akan beraksi dalam persembahan yang berdurasi selama tiga jam dengan pelbagai lagu hit mereka," jelasnya.

Kumpulan yang pernah merangkul beberapa anugerah Grammy dengan rekod penjualan album sebanyak 100 juta unit diseluruh dunia itu terkenal dengan lagu-lagu seperti Welcome To The Jungle, Sweet Child O’ Mine, Paradise City, Patience, Don’t Cry, Estranged dan November Rain.

Untuk tempahan tiket boleh melayari sepangcircuit.com dan oneticket.com.my sementara pemegang tiket “grandstand” layak untuk menyertai konsert tersebut.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top