Penyanyi dan komposer, Awi Rafael mendapat sentuhan sekumpulan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) untuk menghasilkan sepenuhnya muzik video single terbarunya, Hari-Hariku.
Kolaborasi itu merupakan yang pertama antara syarikat naungan Awi Rafael, Warner Music dengan Aswara.Ia berikutan sasaran Awi yang mahu lagunya itu diminati oleh golongan muda.

"Itu (kolaborasi) adalah sesuatu yang amat positif. Terus Awi senyum (apabila ditanya berkaitan kolaborasi) sebab Awi sangat suka bekerjasama dengan anak-anak baru dan energi mereka kerana diberi peluang bekerjasama dengan Awi.

"Awi rasa itu adalah satu sinergi yang sangat positif dan Insya-ALLAH kita akan memulakan promosi ini dengan energi yang betul," katanya kepada media ketika ditemui selepas Showcase Awi Rafael, semalam.

Sepanjang 'showcase' itu, Awi menyampaikan enam buah lagu dengan diiringi pemuzik dari Aswara.
"Untuk 'showcase ini', mereka sudah bermain band dengan Awi dan muzik video yang kedua juga dihasilkan Jabatan Filem Aswara. Awi sangat suka dengan hasil kerja mereka.

"Dalam beberapa hari saja mereka sudah menghasilkan sesuatu seperti itu. Industri kita masih ada ramai bakal-bakat baru. Mereka yang mengarah video klip dan Awi hanya beri idea Awi sedikit. Awi memberi mereka ruang untuk mereka mengekspresi diri mereka," katanya.

Dalam pada itu, Awi Rafael juga memberitahu lagu ciptaannya, Pulanglah yang memenangi lagu terbaik pada Anugerah Planet Muzik baru-baru ini bakal ke pasaran Indonesia.

"Alhamdulillah, lagu Pulanglah itu akan diberi nafas baru oleh band Juwita dari Indonesia. Jadi lagu Awi akan merangkak ke sana.

"Awi rasa muzik itu sepatutnya dikongsi dan jika mereka minat... teruskanlah," katanya yang pernah menjadi penghibur jalanan sebelum bergelar penyanyi.

Katanya, "Awi bermula sebagai seorang penulis. Kalau lagu Awi digunakan mana-mana artis di mana jua, Awi sangat berterima kasih."

Penyanyi kelahiran Singapura ini juga mengesahkan Datuk K dalam lirik lagu Asalkan Aku Ok! itu merupakan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, suami kepada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

"Ya itu memang Datuk K, suami Datuk Siti Nurhaliza. Awi tak tahulah nak minta kebenaran atau tidak pada waktu itu, tetapi lagu itu pun sesuatu yang positif.

"Setakat ini, Datuk Siti ada tweet Awi dan dia cakap lagu itu comel. Saya anggap ia okeylah... doakan kesihatan Datuk K, dan Awi pernah tweet untuk dia lagu Asalkan Aku Ok!," jelasnya.

Menyentuh soal semua lagu dalam album kedua yang dicipta olehnya, Awi menafikan tidak mempercayai pencipta lagu lain.

"Awi sangat percayakan pencipta lagu lain tetapi ini adalah peluang Awi untuk mengetengahkan muzik seterusnya mencipta nama Awi dalam penulisan lirik.

"Awi rasa untuk album Awi seterusnya, mungkin Awi bekerjasama dengan penulis-penulis pujaan Awi," katanya.
Sementara itu, pelakon, Hanez Suraya yang juga kekasihnya itu turut hadir memberi sokongan.
"Dia sokong. Dia pun bawa 10 peminat bersama...terima kasih. Kami sama-sama sokong dari segi karier dan sama-sama menghormati.

"Perkenalan kami masih baru sebenarnya. Dalam lapan bulan. Kami masih dalam fasa mengenali antara satu sama lain," katanya.

Mengulas lanjut tentang hubungannya dengan pelakon cantik itu, Awi akui belum ada perancangan ke arah yang lebih serius.

"Kami belum nak buat apa-apa rancangan pun, kami masih sibuk dengan kerja," katanya.
Di akhir temu bual, penyanyi ini sempat memuji tindakan Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi yang bertegas dalam soal artis luar masuk ke Malaysia.

"Awi sangat menghormati apa yang Zed Zaidi buat untuk industri. Saya rasa itu adalah sesuatu yang harus dibuat. Beliau menjalankan tanggungjawab dan insya-ALLAH kalau ada rezeki, kami akan berjumpa. Setakat ini belum berkesempatan berjumpa dia lagi.

"Awi yakin Warner Music Malaysia mengikut peraturan yang bukan ditentukan oleh Zed Zaidi tetapi ditentukan oleh pihak negara sendiri . Kalau ada apa-apa kita bincang. Senang saja. Kami akan ikut," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top