Mereka mendirikan rumah tangga dalam satu majlis kecil-kecilan di Malibu, California, Amerika Syarikat, pada 21 Ogos 2010.
Lebih setahun mendirikan rumah tangga bersama belahan jiwanya itu, Moyer akui hidupnya telah banyak berubah sementelah dia sendiri belum pernah melalui fasa perkahwinan sebelum ini.
Biarpun mempunyai sepasang cahaya mata, Billy, 11, dan Lilac, 8, hasil daripada hubungan terdahulu, memikul tanggungjawab sebagai seorang suami bagi Moyer, adalah sesuatu yang tidak pernah dijangkanya.
"Ada sebab mengapa saya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Paquin. Memang benar saya mempunyai anak tetapi perasaan itu tidak sama apabila status saya berubah menjadi seorang suami.
"Apabila sampai ke satu tahap, saya mahu orang tahu bahawa saya adalah seorang suami dan bapa. Sampai bila saya harus berteman hidup dengan wanita yang hanya digelar teman wanita.
"Saya berasa begitu janggal untuk beritahu kepada semua orang bahawa saya mahu menghabiskan seluruh hidup saya dengan teman wanita.
"Disebabkan itu, saya sendiri perlu memikirkan sesuatu agar saya dapat merasai nikmat alam berumah tangga.
"Jadi, apabila sudah mempunyai seorang isteri, perasaan itu cukup berbeza dan ia begitu indah sekali," jelas Moyer sambil menggambarkan kehidupan barunya selepas bergelar seorang suami.
Mungkin untuk segelintir pihak, keputusan yang diambil oleh Moyer untuk berkahwin dengan Paquin adalah sesuatu yang cukup memeranjatkan dan dilihat sebagai terburu-buru.
Mana tidaknya, tidak sampai dua tahun berkenalan, mereka berdua bertunang dan seterusnya berkahwin. Sehinggakan ramai wanita yang dilihat begitu kecewa dengan tindakan Moyer itu.
Namun, bagi anak kelahiran Brentwood, Essex, England itu, pertemuannya dengan Paquin disifatkan bagai satu kisah dongeng yang dia sendiri tidak pernah merasainya.
Entah mengapa kata Moyer, sebaik sahaja dia dipertemukan dengan isterinya sewaktu di lokasi penggambaran True Blood, dia sudah dapat merasakan keserasian antara dirinya dengan wanita berusia 29 tahun itu.
"Bagi saya, Paquin seorang yang bijak dan manis sekali. Saya masih ingat lagi menontonnya di kaca televisyen sewaktu dia memenangi Oscar pada tahun 1994.
"Malah, saya bersama anak-anak pernah menonton filem lakonannya, Fly Away Home beberapa kali. Sehinggakan saya ketawa sendirian bahawa tidak pernah menyangka yang saya akan berkahwin dengan budak kecil ini (ketawa).
"Lebih setahun menjadi suami isteri, kami gembira dengan apa yang kami lalui kini. Banyak perkara yang boleh kami kongsi bersama sehingga ada kalanya ia berlanjutan sehingga ke set penggambaran," jelas Moyer yang berusia 42 tahun itu panjang lebar.
Meskipun dalam musim keempat True Blood mempunyai adegan ranjang yang membabitkan Paquin bersama salah seorang pelakon siri itu, Alexander Skarsgard, ternyata Moyer tidak mahu melihat perkara itu sebagai sesuatu yang serius.
Ini kerana katanya, Skarsgard yang memegang watak sebagai Eric Northman dalam siri itu merupakan kawan baiknya dan menganggap setiap babak hanyalah lakonan semata-mata.
"Saya bertemu dan ada bercakap dengannya berhubung soal ini kerana tahu dia mempunyai banyak babak bersama dengan isteri saya. Saya hanya berterus-terang kepadanya sambil memberitahu bahawa saya dan dia adalah pelakon yang perlu menjalankan tanggungjawab dengan baik.
"Walaupun saya tidak akan berada di set penggambaran setiap masa untuk melihat apa yang dilakukannya, tetapi, saya pasti akan mendapat sebarang berita daripada krew yang diibaratkan sebagai alat perakam saya.
"Apa yang saya lakukan ini adalah juga sebahagian daripada kerja saya dan isteri saya juga perlu berdepan dengan situasi sama apabila dalam musim ini, saya mempunyai hubungan dengan dua orang wanita.
"Perbezaannya di sini adalah saya cukup mengenali Skarsgard tetapi isteri saya pula tidak kenal dua wanita yang akan ditampilkan dalam musim keempat ini.
"Memang sukar kerana saya juga perlu meminta pandangan daripada Paquin," kata Moyer yang memberitahu situasi itu amat berbeza ketika di awal True Blood mula direalisasikan.
0 ulasan:
Catat Ulasan