Kisah mengenai kisah persahabatan yang akhirnya bertukar menjadi percintaan sudah biasa diterjemahkan ke layar perak, cuma apa penting adalah cara suntikan atau garapan pengarah terhadap plot-plotnya.
Tampil dengan sebuah filem terbaru berjudul Hanya Aku Cinta Kau Seorang (H.A.C.K.S), Metroweatlh Pictures atau MIG mempertaruhkan sekali lagi kisah cinta romantis komedi yang akan ditayangkan mulai hari ini di pawagam.
Masih mengekalkan jalan cerita yang tidak berat dan bersifat santai, persahabatan menjadi tunjang kepada keseluruhan cerita di samping permainan emosi serta kisah sampingan beberapa watak.
Dibarisi wajah-wajah segar termasuklah Aeril Zafrel, Nuremy Ramli, Mon Ryanti, Shima Anuar, Helmy Moin, Kamal Faridz dan pelakon senior, Fezrul Khan, Hacks tidak lari banyak daripada filem-filem romantis komedi sebelum ini.
Namun pujian harus diberi kepada pengarahnya, Ahmad Rusli Khadri atau Ollynn yang cuba menonjolkan betapa cinta tanpa persahabatan mahupun persahabatan tanpa cinta tidak akan berjaya. Diberi peluang menonton H.A.C.K.S pada satu sesi pratonton Isnin lalu, ia percubaan yang cukup baik untuk menunjukkan sisi lain proses jatuh cinta antara dua insan.
Mungkin bunyinya klise tetapi daripada segi konsep kisah cinta tidak terungkap ini, H.A.C.K.S berjaya lari daripada kisah-kisah percintaan lain apabila hubungan Mukhlis (Aeril) dan Murni (Nuremy) berbentuk luar biasa. Keakraban yang terjalin sudah melangkaui tahap persahabatan biasa malah tahap kasih sayang mereka juga berbeza.
Bagaimanapun, bagi Murni, lelaki semua sama saja dan tidak percaya kepada cinta. Tambahan pula, ia berlaku di hadapan matanya di mana Felix (Kamal) menjalin hubungan sulit sehingga isterinya, Stacy (Mon) cuma berdiam saja walaupun baru mendirikan rumah tangga. Disebabkan itu, dia lebih selesa berkawan dengan lelaki sehinggalah satu hari dia mencadangkan kepada Mukhlis untuk mencarikan 'Mr Right' buatnya.
Dari situlah konflik bermula apabila Murni dipertemukan dengan lelaki budiman, Iqwal (Fezrul) dalam satu insiden yang dirancang adik Iqwal sendiri, Zizi (Shima). Tumpuan Murni mula beralih kepada Iqwal dan menjauhkannya sedikit daripada Mukhlis menyebabkan Mukhlis mula rasa seperti kehilangan.
Dalam diam, Mukhlis cemburu kerana Murni nampaknya semakin berbahagia dengan Iqwal dan akhirnya suatu hari dia bertindak melarikan diri daripada Murni serta rakan lain.
Keseluruhannya, kekuatan utama dapat dilihat pada konsep serta garapan idea yang segar dan begitu juga barisan pelakon barunya. Bagaimanapun, daripada segi teknikal, mungkin banyak yang perlu diperkemaskan kerana ada kala transisi babak ke babak sedikit membuatkan penonton agak kurang faham.
Selain itu, dari segi watak itu sendiri, ia sedikit longgar apabila karakter mereka tidak begitu kuat. Ada babak sepatutnya lebih berkesan jika diterjemahkan kepada bentuk monolog berbanding diucapkan sendiri oleh watak.
Menjadi filem keempatnya, Ollynn tidak gentar untuk mengetengahkan pelakon baru sebagai watak utama.
"Sejak uji bakat, saya memilih barisan pelakon itu. Mereka mempunyai kriteria dan potensi untuk setiap karakter, masing-masing mempunyai kekuatan.
"Pada asalnya, filem ini diberi judul Super Duper Lover namun untuk menyesuaikan dengan budaya kita, ia ditukar kepada H.A.C.K.S. Sama juga terhadap pengolahan idea itu sendiri di mana saya banyak menonton kembali cerita-cerita Hindustan kerana ia rujukan terbaik bagi kisah romantis komedi berserta permainan emosi sebegini," ujarnya.
Bagi hero filem ini, Aeril pula berkata inilah filem terakhir di mana dia tidak berbaju. Sedang mendalami bidang keagamaan pada ketika ini, keputusan itu diambil selepas mengambil nasihat daripada gurunya.
"Saya sedar pastinya babak-babak sebegini mengundang sesuatu yang tidak manis. Jadi, biarlah ini menjadi projek terakhir di mana saya tayang badan. Dalam filem ini, terdapat babak saya diminta untuk memakai tuala saja dan apabila difikir kembali, saya rasa kurang selesa.
"Digandingkan buat pertama kali dengan Nuremy dalam filem ini, juga antara cabaran terbesar apabila kami tidak pernah bertemu sebelum ini. Jadi, untuk mencipta keserasian itu, kami diminta keluar bersama secara berkumpulan bagi mengenali karakter masing-masing," jelasnya.
tak sabar nak tengok
BalasPadamcerita nie mmg best glerr arrr bg aku,,,jiwang siutt,,,,tapi nape mukhlis mati,,,,kalau x maty lagi best,,,hahah,,all the best
BalasPadamzalman bertanya .
BalasPadamapa tajuk lagu waktu babak murni smbut anniversary cinta platonik?