Filem Hapuslah Air Matamu menceritakan seorang penyanyi yang berasal dari kampung, Aini (Sharifah Aini) yang lupa daratan selepas terkenal sebagai artis rakaman.
Aini seorang gadis kampung yang bersopan santun serta berbudi tinggi. Atas galakan Adi (Latiff Ibrahim), kekasihnya yang menuntut di universiti, dia menjadi penyanyi diminati ramai.
Adi begitu menyokong cita-cita Aini dan sering membantunya dalam segala hal.
Sementara itu, pengurus syarikat piring hitam memberi peluang Aini berpadu suara dengan penyanyi terkenal Indonesia, Broery (Broery Marantika). Tanpa diduga, lagu yang menggabungkan mereka diterima ramai baik di Malaysia mahu pun di Indonesia.
Sejak itulah bermula titik kejayaan dalam kerjaya sebagai penyanyi yang menyebabkan namanya semakin terkenal dan menjadi rebutan syarikat piring hitam.
Ketika itu juga kelab malam menawarkannya membuat persembahan dengan bayaran yang tinggi. Sewaktu Aini dengan Broery di Indonesia, dia berubah menjadi angkuh dan sombong.
Aini berasakan dirinya hebat dan hanya layak di dampingi orang kaya dan terkenal. Kemuncaknya dia melupai janjinya yang lalu terutama kepada ibu dan kekasihnya.
Lebih menyedihkan apabila ibunya pergi ke kelab untuk menemuinya, dia memarahi serta menghina ibunya menyebabkan ibunya merajuk lalu jatuh sakit. Justeru, masih adakah ruang buat Aini kembali ke pangkal jalan?
Hapuslah Air Matamu dibintangi Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini, Broery Marantika,Latiff Ibrahim,seniwati Normadiah dan komposer Datuk Ahmad Nawab.
0 ulasan:
Catat Ulasan