Hanez Suraya melakonkan watak utama, Suri, gadis yang sudah mula mengenali erti berdikari sejak kecil lagi. Perceraian ibu bapa Suri menyebabkan dia diserahkan kepada neneknya untuk dipelihara. Sejak itu, ibunya iaitu Marisa jarang sekali menjenguknya, apatah lagi untuk bertanya khabar.
Namun, apabila nenek Suri meninggal dunia, barulah Marisa muncul untuk memikul tanggungjawabnya sebagai ibu. Tidak lama selepas itu, Marisa membawa Suri berpindah ke pinggir bandar untuk tinggal bersamanya.
Pada hari pertama dia menjejak kaki di sekolah barunya, secara tidak sengaja Suri telah memalukan rakan sekelasnya yang bernama Kira. Sejak itu, Suri sering menjadi sasaran buli Kira dan rakan-rakannya. Guru kelas mereka sering memuji kebijaksanaan Suri dan ini menambahkan lagi kebencian Kira terhadap Suri.
Alangkah kecilnya dunia ini apabila Suri mendapati Farid, teman lelaki ibunya yang bakal dikahwini adalah ayah Kira. Kira cuba menghalang Farid daripada meneruskan niatnya untuk berkahwin dengan Marisa. Namun, Farid tetap mengahwini Marisa dan sejak itu Marisa dan Suri dibawa tinggal bersama Farid.
Masih belum puas, Kira terus galak membuli Suri sehinggakan pernah suatu hari, Kira memasukkan sampah ke dalam bekal makanan Suri manakala air minuman Suri digantikan air mangkuk tandas. Namun, Kira berpura-pura melayan Suri dengan baik apabila berada di depan Farid dan Marisa. Walaupun Kira telah tinggal sebumbung dengan Suri, dia tidak mahu rakanrakannya mengetahui gadis yang paling dibencinya itu sudah menjadi kakak tirinya.
Jika Suri semakin cemerlang dalam pelajaran, Kira pula sebaliknya. Kira lebih gemar berkawan dengan beberapa remaja liar hingga mula terjebak dengan dadah. Malangnya, pihak polis mula menghidu aktiviti Kira dan rakannya dan menyerbu rumah Kira. Sewaktu operasi menggeladah rumah, polis menjumpai dadah dalam bilik Suri. Kira sengaja menyembunyikan dadah itu dalam bilik Suri. Selepas kejadian itu, Suri dimasukkan ke pusat pemulihan akhlak.
Setelah setahun berlalu, Suri dibebaskan dari pusat pemulihan. Ketika itu Kira menyambung pelajarannya di sebuah kolej. Kira berasakan dia lebih berjaya daripada Suri kerana Suri masih belum menduduki SPM dan kini Suri hanya mampu bekerja di sebuah kedai.
Sementara itu di kolej Kira tertarik dengan seorang pelajar tampan dan kaya yang bernama Hariz. Kira berusaha untuk menunjukkan bahawa dia juga berasal dari keluarga yang setaraf Hariz. Dia sering mengambil kesempatan ke atas Suri dengan menggunakan wang saku Suri untuk berlagak mewah.
Sementara itu, Suri mendaftar di pusat tuisyen untuk menduduki peperiksaan SPM. Dengan berkat usahanya dia telah berjaya mendapat keputusan cemerlang. Suri menyambung pelajarannya di kolej sama dengan Kira. Bermulalah kehidupan Suri dan Kira di kolej sama walaupun berlainan kelas dan tahun pengajian.
Kehadiran Suri di kolej itu telah mengetuk pintu hati Hariz untuk jatuh cinta terhadap Suri. Pada masa sama, Suri juga mula menyimpan perasaan terhadap Hariz. Apabila Kira mengetahui lelaki idamannya menyukai Suri, dia menjadi amat marah. Seperti biasa, Kira tetap mempunyai pelbagai helah untuk menyeksa hidup kakak tirinya.
Apakah helah seterusnya yang dilakukan Kira untuk menjatuhkan Suri? Berjayakan Suri menikmati perasaan cinta bersama Hariz? Adakah Suri akan berjaya menemui kebahagiaan setelah banyak pengorbanan dilakukan? Ingin mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya? Jangan lupa saksikan Suri setiap Isnin hingga Khamis, jam 4 petang di TV3!
Drama Suri arahan Emi Suffian Abd Sabhe, disiarkan bermula 11 Jun ini juga mendapat sentuhan skrip nukilan Nurul Shadila dan Azmi Arif serta membariskan pelakon seperti Hanez Suraya, Izreen Azminda, Datin Noniswara, Datuk Eizlan Yusof, Kaza, Sharnaaz Ahmad, Puteri Sarah, Mariani dan Kamarool Yusof.
CERITA YANG MENARIK SEKALI...SAYA SUKA WATAK YANG DI BAWA OLEH IZZREN..
BalasPadamizreen mmg berbakat dlm apa jua watak baik mahupun jahat..dia berjaya buat nenek sy benci pada kira bkn izreen..hi3
BalasPadamcerita ini sangat menarik,saya suka watak Haris(Syarnaz) danSuri(Hanez Suraya)
BalasPadam