Ryzal atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaafar berkata, memandangkan industri seni di Malaysia tidak begitu besar, ia sedikit sebanyak mengehadkan kerjaya seseorang artis, lebih-lebih lagi apabila terlalu ramai bakat-bakat baru.
"Tidak kiralah sama ada perniagaan yang dijalankan itu kecil atau besar, asalkan ia dapat menjadi jaminan untuk masa depan. Sekurang-kurangnya seseorang artis itu sudah bersedia sekiranya mereka tidak diperlukan lagi dalam bidang seni.
"Lagipun, menjadi seorang artis tidak menjanjikan kemewahan. Saya pelik apabila ramai yang melihat kerjaya ini boleh menyebabkan seseorang menjadi kaya dengan mudah. Benar, ada yang berjaya, tetapi tak semua, bergantung kepada tuah dan rezeki," katanya.
Tambah Ryzal dia mengambil contoh seperti kumpulan adik beradik KRU yang begitu aktif dalam bidang perniagaan walaupun tidak lagi bergiat aktif dalam nyanyian.
Justeru itu, Ryzal bakal membuka perniagaan pakaian mengikut peredaran fesyen terkini dan sebagai permulaan, pelakon drama Naziha (TV3) ini bakal muncul dengan koleksi baju Melayu, bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.
"Tak sabar rasanya untuk memulakan perniagaan ini. Memandangkan jadual kerja agak padat, saya membuat keputusan untuk menjual baju-baju itu secara online pada bulan Ramadan nanti.
"Selain mengambil contoh KRU dalam cara mereka menguruskan perniagaan, saya turut belajar menerusi perniagaan keluarga saya di Alor Setar, Kedah, iaitu membuka homestay dan perusahaan menjual bantal kekabu.
"Moga apa yang dilakukan ini berjaya, untuk masa depan nanti, Insya-Allah," tuturnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan kerjayanya, Ryzal gembira penglibatannya selama lapan tahun sebagai seorang pelakon memberi satu kepuasan buatnya kerana berjaya mengekalkan kedudukan diri walaupun tidak popular seperti pelakon-pelakon lain.
Malah Ryzal menganggap proses lapan tahun itu sebagai tempoh pembelajaran dan sedikit demi sedikit dia mula mendapat perhatian daripada kalangan penerbit drama.
"Rasa berbaloi sangat apabila penerbit-penerbit drama mula memerhatikan lakonan saya, walaupun harus diakui masih banyak kelemahan yang perlu diasah.
"Dan tempoh lapan tahun bergelar pelakon tanpa banyak publisiti membuatkan kerja saya menjadi lebih mudah tanpa memikirkan masalah kontroversi yang melanda.
"Sebaliknya saya hanya perlu perbaiki kualiti lakonan untuk bersaing secara sihat dengan pelakon-pelakon lain," tuturnya.
Rizal kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Sejadah Dari Mekah dan Hantu Susu yang akan disiarkan pada Aidilfitri nanti. ~ Mstar
0 ulasan:
Catat Ulasan