Gambar Awi Rafael bersama seorang wanita tersebar di laman sosial, baru-baru ini lalu mencetuskan kontroversi panas dunia hiburan.
Selain isu gambar, Awi yang pernah bermastautin di Australia turut menjadi bahan gosip apabila dia dikatakan meneruskan tabiat buruk bertukar ganti pasangan walaupun ada kekasih baru.
Seperti gambar Awi yang tersebar di laman sosial, penyanyi itu dilihat bersama seorang teman wanita. Menambah `panas' dalam berita yang tersebar, gambar terbabit mendedahkan lengan Awi yang jelas menampakkan simbol atau lakaran tatu.
Enggan menuding jari kepada sesiapa walau menyedari ada pihak lain kurang senang, akuinya lagi, setiap insan ada sejarah silam yang tidak perlu diungkit-ungkit.
"Seboleh-bolehnya, saya enggan komen kerana ia cerita lampau, tiada kena mengena dengan diri saya.
"Cuma sebagai kekasih saya hanya mampu beri sokongan. Sesiapa saja boleh mengorek gambar lama dan menggunakannya untuk tujuan cuba mengaibkan.
"Saya terharu apabila kisah negatif ini timbul, Awi hanya bimbangkan diri saya. Dia tidak mahu kerjaya seni saya turut terjejas ekoran cerita itu. Apa yang boleh saya katakan, kepercayaan, keyakinan dan kerjaya saya tetap seperti biasa," katanya kepada HIP.
Hanez berkata, beliau enggan mengulas jika ada pihak bertanya mengenai kesahihan gambar terbabit.
"Bukan hak saya untuk mengulasnya. Itu adalah masa lampaunya dan kini Awi bersama saya. Hidup perlu diteruskan," katanya yang kerap menemani kekasihnya menjalani latihan persembahan bagi program Rooftop terbitan ntv7.
Awi yang popular dengan lagu Pulanglah menjadi antara penyanyi pilihan program hiburan terbitan ntv7, Rooftop. Kehadiran Hanez di sisi Awi membuktikan hubungan mereka terus teguh biar diuji dugaan besar.
Tambah Hanez lagi, dia dan Awi berasa sungguh bertuah apabila keluarga mereka memahami situasi yang melanda selain menitipkan kata-kata semangat.
"Saya bersyukur ada keluarga dan teman akrab yang memberi sokongan tatkala timbulnya cerita begini. Hubungan saya dan Awi juga masih seperti biasa, malah rasanya kami lebih mengenali hati budi masing-masing.
"Kontroversi gambar ini adalah ujian untuk kami berdepan dugaan lebih besar pada masa akan datang. Jika kita cepat melatah, orang tentu akan sentiasa mensasarkan diri kita (sebagai bahan umpatan atau gosip)," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan