Maharku Untukmu menceritakan pengorbanan seorang lelaki yang menjadi pak sanggup kepada wanita yang dicintainya.
Ceritanya, Tengku Aishah (Nabila Huda) diibaratkan dilahirkan dalam talam emas. Dia mempunyai segala-galanya dan membesar dikelilingi oleh golongan elit yang mementingkan status dan kasta. Ayah dan bondanya amat mementingkan status dan darjat. Aishah membesar sebagai gadis yang manja dan angkuh.
Dia mewarisi sikap hidung tinggi ibunya, Tengku Marina (Norish Karman). Aishah tidak pernah terfikir yang dia akan berhadapan dengan kemelut kehidupan kerana selama ini dia merasakan perjalanan hidupnya lancar dan hanya perlu 'petik jari' semua tersedia di depan mata. Kurangnya pendidikan agama dan jalan hidup yang kebaratan mengheret Aishah jauh ke lembah maksiat.
Sementara itu Putera (Adi Putra) adalah pemuda yang lurus dan bukanlah anak jutawan. Walaupun tidak berpelajaran, tetapi dia tidak pernah berputus asa mencari rezeki yang halal. Dia berpegang kepada pesanan arwah ibunya bahawa maruah diri tiada nilainya dan sentiasa patuh kepada ajaran Islam. Kenaifan Putera disedari oleh Tengku Hamid (Rahim Jailani), iaitu ayah Aishah. Terlintas di fikirannya, pada zaman sekarang sukar mencari orang yang lurus seperti Putera. Sehubungan itu, Tengku Hamid mengambil Putera menjadi pemandunya.
Putera terkedu apabila kali pertama bertemu Aishah yang sombong, malah sebelah mata pun dia tidak memandang ke arahnya. Aishah bertunang dengan Tengku Ariff seperti yang dimahukan Marina.
Baginya Tengku Ariff (Iqram Dinzly) adalah calon terbaik meskipun lelaki itu gagal dalam perkahwinan sebanyak dua kali. Gaya hidup bebas membuatkan Aishah merelakan saja dirinya ditiduri Ariff. Malang tidak berbau apabila Ariff terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia. Kesedihan Aisyah bertambah parah apabila dia mendapati Ariff meninggalkan benih di dalam rahimnya.
Marina panik apabila mendapati anaknya mengandung. Dia menyuruh anaknya itu menggugurkan kandungan, namun Hamid membantah keras keputusan itu. Baginya dosa yang sedia ada amat besar, jangan ditambah dengan dosa yang lebih besar lagi.
Hamid mahu Aisyah berkahwin. Dia harus mencari seseorang yang mahu menjadi pak sanggup. Hamid teringatkan Putera dan dia menyedari pemandunya itu ada menaruh perasaan terhadap Aisyah. Hamid meminta Putera menikahi anaknya. Marina pengsan dengan keputusan itu manakala Aishah pasrah dalam tangisan.
Putera termangu, namun dia sememangnya mencintai Aishah. Dia tahu Aishah tidak pandang dirinya. Tetapi itu semua tidak penting. Putera tekad akan membahagiakan Aishah. Putera sedar apa yang sedang berlaku. Tetapi dia tetap melakukan apa yang sepatutnya untuk memperisterikan Aishah. Dia masih ada maruah diri. Untuk itu dia menyediakan sendiri mahar untuk Aishah.
Tersenyum sinis Marina melihat cincin belah rotan dan al-Quran sebagai hantaran. Bermulalah kehidupan baru Putera sebagai menantu Hamid dan Marina. Mujur juga namanya Putera, kata Marina. Bolehlah mereka menipu mengenai latar sebenar menantu mereka. Aishah pula sangat bencikan Putera. Hatinya tidak boleh menerima kenyataan yang dia bersuamikan pemandunya sendiri. Akan tetapi Putera tak kisah, walaupun dimaki dan dihina, Aishah tetap isterinya. Aishah dicintai dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki.
Drama Maharku Untukmu ini dibintangi oleh Adi Putra dan Nabila Huda sebagai teraju utama. Jangan lupa menonton drama menarik Maharku Untukmu di Slot Cerekarama , Sabtu, 30 Jun 2012 pukul 10 malam di TV3.
Maharku Untukmu Synopsis
Tengku Aishah is proud and arrogant. Her parents only care about preserving the family status and nothing more. Putera is a young man with a pious, no-nonsense attitude. When Tengku Aishah’s father, Tengku Hamid, notices Putera’s good traits, he hires him as the family driver. Starring Nabila Huda, Ady Putra, Norish Karman, Rahim Jalani, Iqram Dinzly.
Promo Maharku Untukmu
0 ulasan:
Catat Ulasan