Eva Anindita mula menceburi bidang lakonan sejak 2006 setelah ditawar sebuah agensi untuk mengikuti uji bakat sinetron Culunnya Pacarku di Jakarta.

Setelah percubaan pertamanya dalam memegang watak antagonis menjadi, Eva kemudiannya dihujani pelbagai tawaran lakonan untuk peranan sama.

Malah, hari demi hari, dia semakin serasi dengan karakter seperti itu.

Eva Anindita

"Ada yang berpendapat gaya dan penampilan yang saya ada sesuai untuk memainkan watak antagonis. Mungkin itulah sebab utama mengapa saya kerap diberi tawaran watak yang sama.

"Walaupun ia tidak mudah, tetapi saya tetap mahu melakukannya untuk buktikan keupayaan dan kebolehan saya dalam lakonan," katanya yang popular menerusi sinetron Kejora dan Bintang di samping Baim Wong dan Alyssa Soebandono.

Bagaimanapun, bakat dan kebolehannya tidak hanya tertumpu pada lakonan sinetron sahaja, Eva juga turut diberi kepercayaan di layar perak.

Malah, dia merupakan antara aktres yang menjadi pilihan utama pengarah dan penerbit untuk menjayakan watak antagonis.

Memainkan watak antagonis bukanlah sesuatu tugasan yang mudah, malah tidak semua pelakon berupaya melakukannya dengan baik.

Tetapi, bakat dan kebolehan yang dimiliki Eva, membuatkannya mudah menghayati peranan yang diberi.

"Saya tidak kisah, malah selesa dengan pencapaian saya dalam bidang lakonan sekarang. Saya puas dengan setiap lakonan saya dan itulah yang saya inginkan dalam bidang ini.

"Walaupun tidak mudah melakukannya kerana risiko mendapat cacian daripada peminat fanatik drama sinetron, saya tetap gembira kerana menganggap setiap lakonan saya telah berjaya menghidupkan watak yang ditawarkan oleh pengarah," katanya.

Walaupun kerap diberi watak sedemikian, ia tidak bermakna Eva memiliki karakter tersebut dalam kehidupan sebenar.

"Saya bukanlah seperti yang dilihat penonton dan karakter dalam sinetron itu hanyalah lakonan semata-mata.

Melakonkan watak antagonis beri saya kepuasan kerana saya tahu tidak semua pelakon berani melakukannya.

"Tetapi, jika diberi peluang untuk melakonkan watak yang bertentangan dengan karakter sebelum ini, saya juga tidak akan menolaknya," katanya.

Setelah hampir dua tahun menjalinkan hubungan percintaan bersama seorang usahawan, Reza Zachrie, pasangan ini akhirnya disatukan pada tanggal 17 Mac lalu.

Teruja dengan pernikahan itu, Eva tidak pernah berhenti bersyukur kerana dia dikurniakan suami yang sangat memahaminya.

"Saya bersyukur kerana tuhan memakbulkan setiap doa yang saya pohon daripada-Nya. Dia seorang yang memahami dan saya bahagia bersamanya.

"Saya harap peminat dapat mendoakan yang terbaik untuk kami," katanya. Eva berkata, suami juga tidak menghalangnya meneruskan lakonan.

Namun sebagai isteri, dia tahu mengehadkan kariernya demi suami tercinta.

Jelas Eva, dia kini semakin selektif menerima tawaran lakonan dan tidak sanggup berjauhan dengan suami.

"Tanggungjawab saya kini semakin bertambah, jadi saya harus bijak membahagikan masa antara karier dan rumah tangga," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top