Fimie Don sudah remaja

Fimie Don pernah digelar antara pelakon cilik yang begitu berbakat dalam dunia lakonan tanah air. Sejak menceburi bidang lakonan sembilan tahun lalu, nama Fimie bukan lagi asing terutama selepas dia muncul dalam drama bersiri Hikayat Putera Shazlan.

Petah berkata-kata dan pandai menyesuaikan diri, Fimie kemudiannya menjadi kegemaran penerbit dan pengarah tempatan khasnya bagi watak kanak-kanak untuk melariskan naskah mereka.

Gambar Fimie Don

Pendek kata, menerusi kebolehan dan bakat yang ada pada Fimie, tak susah untuk dia mencuri perhatian pihak produksi dan juga pemint drama.

Pun begitu, seiring dengan peningkatan usia, Fimie dilihat masih ditawarkan watak kanak-kanak meskipun kini sudah berusia 14 tahun.

Bak kata orang, dah tak sesuai untuk dia membawakan watak kanak-kanak kerana secara fizikalnya, Fimie sudah remaja.

Namun, situasi itu masih terjadi dan ia membuka keberanian Fimie untuk menjelaskan keadaan itu yang dianggapnya sudah tidak lagi wajar berlaku.

"Sampai sekarang masih ada penerbit atau pengarah yang menawarkan watak kanak-kanak untuk saya lakonkan.

"Saya terpaksa menjelaskan yang saya dah tak sesuai bawa watak itu kerana saya sudah remaja," katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini turut menjelaskan, kebanyakan tawaran juga terpaksa ditolak memandangkan fizikalnya tidak lagi seperti dahulu.

"Fizikal saya naik mendadak semasa saya 13 tahun. Saya dah tinggi jadi macam mana saya nak bawa watak kanak-kanak?

"Ada pihak produksi beria-ia mahu saya berlakon untuk drama mereka dan saya terpaksa tolak secara baik.

"Saya tak salahkan mereka. Mungkin mereka tak tahu perkembangan saya sebab saya jarang keluar di akhbar atau majalah.

"Jadi melalui Pancaindera, saya harap isu ini dapat dijelaskan agar tidak ada salah faham lagi, " katanya.

Bagaimanapun, kata Fimie, penjelasannya ini bukanlah untuk menafikan dakwaan kononnya dia kini sudah tidak boleh 'dijual' lagi.

"Saya harap jangan pula ada pihak yang salah faham dan menganggap yang saya ni cuba beri alasan sebab dah tak laku.

"Bukan begitu, ini semua kerana faktor fizikal dan usia. Saya akan terima tawaran itu jika sesuai dengan saya.

"Rasanya, mereka yang pernah bekerja dengan saya tahu saya bagaimana. Setakat ini, saya tak ada masalah bekerjasama dengan sesiapa pun," ulasnya lagi.

Puji bakat cilik lainPelakon yang juga popular menerusi filem terbitan KRU berjudul Magika ini memberitahu, dia juga begitu mengagumi bakat-bakat cilik lain yang semakin ramai melatari dunia lakonan kini.

Pernah meraih pengalaman sejak berusia lima tahun, kata Fimie, sekarang mungkin sudah tiba masanya untuk dia membawa watak remaja sesuai dengan usia.

"Pada saya, baguslah ada ramai bakat-bakat cilik lain dalam dunia lakonan kita. Peluang ada, maka rebutlah dengan bijak. Pelakon cilik sekarang pun bagus-bagus belaka.

"Kalau muka saya jadi kanak-kanak, tentu orang bosan. Tapi saya selalu percaya dan positif bahawa rezeki itu ada di mana-mana," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada dia berlakon demi kepuasan atau wang, kata Fimie, wang bukan perkara pokoknya.

Ini kerana kata Fimie, walaupun telah lama berlakon, dia tidak pernah memegang wang yang banyak dalam satu-satu masa.

Kesemua wang hasil lakonannya diserahkan bulat-bulat kepada ibunya untuk diuruskan.

"Kebanyakannya saya gunakan untuk bantu keluarga dalam menyediakan kelengkapan dan keperluan. Selebihnya baru saya simpan.

"Saya bukan remaja yang suka berjoli. Pakaian saya pun kebanyakannya bukan berjenama. Biarlah apa orang nak cakap, yang penting saya selesa macam ni, "katanya.

Dalam pada itu, menurut Fimie, dia kini dalam debaran menunggu tayangan filem 8 Jam dan S.A.M (Saya Amat Mencintaimu) terbitan MIG yang bakal menjengah pawagam tidak lama lagi.

1 ulasan:

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top