Dianggap sebagai `siri terbaik pernah diterbitkan di Korea ketika ini', Ten mengambil alih kedudukan rating nombor satu dalam kalangan saluran berbayar ketika slot tayangannya, dan mengisi tempat berkenaan selama sembilan minggu (dari November 2011 hingga Januari 2012).
Episod terakhir siri penuh debaran ini menerima rating purata 3.16 peratus dari seluruh negara, menjadikannya sebuah daripada drama saluran berbayar paling tinggi ratingnya di Korea tahun ini.
Drama ini mengisahkan penyiasatan dilakukan pasukan khas dikenali sebagai Ten, sebuah unit yang diwujudkan khusus untuk menangani kes paling kejam dan misteri, serta mempunyai peluang 10 peratus saja untuk diselesaikan.
Dibintangi Joo Sang Wook (The Feast of The Gods dan Paradise Ranch) serta Jo An (King Gwanggaeto the Great dan Secret Investigation Record), ia memaparkan kisah bagaimana Sang Wook mengetuai sekumpulan empat detektif dalam pemburuan mereka ke atas pembunuh paling kejam dan licik, yang jarang meninggalkan apa-apa jejak mahupun kesan dalam kes jenayah yang mereka lakukan.
Dengan motto, `tiada lagi jenayah yang tidak diselesaikan!', unit khas ini akan berdepan dengan beberapa penjenayah paling gila pernah mereka hadapi.
Produksi siri ini mengambil masa selama tiga tahun lapan bulan untuk disiapkan, dengan setiap episod menelan belanja sekitar RM446,000. Pengarahan yang kukuh, skrip yang meyakinkan dan barisan pelakon yang baik membolehkan siri ini memenangi Anugerah Kandungan Terbaik pada Anugerah Guerime 2011 dan Hadiah Utama pada Anugerah Program TV Berbayar 2012.
Bagi peminat drama Korea di negara ini, siri Ten dapat disaksikan buat julung kali pada 14 Jun ini menerusi saluran KIX HD (ASTRO saluran 729). Ia disiarkan pada setiap Khamis, jam 10 malam.
0 ulasan:
Catat Ulasan