Masa depan golongan anak seni termasuk pelakon, penulis skrip dan pekerja belakang tabir produksi akan lebih terjamin apabila Gabungan Industri Kandungan Kreatif (CCIG ) dengan kerjasama badan sedia ada akan meningkatkan tahap profesionalisme pengamal industri kreatif sekali gus mengiktiraf mereka sebagai tenaga kerja profesional setaraf dengan sektor lain di negara ini.
Pengerusi CCIG, Jurey Latiff Rosli berkata, buat masa ini, pihaknya memfokuskan kepada penggiat tiga cabang seni utama itu terlebih dulu dalam pelaksanaan fasa pertamanya.
“Menerusi pelaksanaan proses pengiktirafan yang dikendalikan CCIG dan badan berkaitan, pelakon, penulis skrip dan pekerja belakang tabir akan diiktiraf sebagai golongan profesional di mana mereka akan menikmati pendapatan setaraf golongan profesional lain di luar sana.
“Pihak kami ingin fokus pada pekerja belakang tabir kerana ia membabitkan kru paling ramai daripada ‘runner’ hinggalah mereka yang duduk di kerusi pengarah iaitu membabitkan lebih 80 peratus penggiat industri berkecimpung dalam bidang ini.
“Jika hari ini, tukang bancuh air dalam sesebuah produksi boleh memegang kerusi pengarah bersandarkan pengalamannya semata-mata tanpa kelayakan pendidikan setaraf. Begitu juga ada pengarah drama yang sudah 18 tahun bergelar pengarah tapi kelayakannya sekadar Sijil Pelajaran Malaysia saja.
“Namun, selepas pelaksanaan proses pengiktirafan ini, mereka perlu memiliki sijil atau kelayakan yang setaraf dalam bidang itu untuk dibayar gaji mengikut tangga gaji masing-masing,” katanya.
Jurey berkata, pihaknya melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) juga bekerjasama dengan universiti atau institusi pengajian tinggi tempatan bagi menyediakan kursus sesuai buat pekerja belakang tabir untuk melalui proses pengiktirafan itu.
“Jika nak diikutkan, proses pengiktirafan (meletakkan gred) membabitkan golongan seni ini sudah dilaksanakan di persada hiburan Hollywood, cuma perkara ini masih baru di negara ini.
“Malah, dengan adanya pengiktirafan itu, penggiat seni tempatan akan dapat gaji minimum dan sasaran gaji mereka juga mencecah RM8,000 sebulan menjelang 2020,” katanya.
Beliau ditemui di sesi ramah mesra bersama pihak media yang berlangsung di Kelab Darul Ehsan, Ampang, di sini, baru-baru ini. Hadir sama, Ahli Majlis Kerja CCIG, Harun Salim Bachik dan Yusof Kelana.
Jurey yang dilantik memegang jawatan Pengerusi CCIG, sejak Mesyuarat Agung pertamanya Julai tahun lalu berkata, objektif dan hala tuju penubuhan CCIG adalah untuk meningkatkan taraf ekonomi dan profesionalisme golongan anak seni tempatan.
“Pihak kami juga menyeru semua pihak yang terbabit secara langsung dalam bidang seni untuk menjadi ahli CCIG termasuklah golongan remaja dan pelajar yang berusia 18 tahun ke atas.
“Keahlian CCIG terbuka kepada semua individu termasuk pihak wartawan juga digalakkan menjadi ahli kerana mereka juga terbabit dalam industri kreatif.
“Selain itu, pengarah filem, pemuzik, penerbit, pereka grafik, pereka animasi dan bidang lain di bawah industri kreatif juga dialu-alukan menjadi ahli dengan segera,” katanya.
CCIG yang ditubuhkan sejak 23 Ogos tahun lalu kini mempunyai lebih 400 ahli berdaftar setakat ini. Pihak mereka juga mensasarkan keahlian seramai 15,000 orang dalam tempoh tiga tahun akan datang.
CCIG juga menerima suntikan dana dari kerajaan sebanyak RM2 juta tahun lalu untuk menjalankan aktiviti berkaitan terutama dalam mempromosikan lagi pertubuhan NGO itu kepada masyarakat.
Mereka yang berminat menjadi ahli boleh mendaftar di portal rasmi CCIG iaitu www.ccigmalaysia.com.
Mengulas isu artis luar yang ditimbulkan Presiden Seniman, Zed Zaidi pula, kata Jurey, pihaknya turut mengalu-alukan pelakon popular Aaron Aziz, Adi Putra atau mana-mana artis luar yang cari makan dalam bidang hiburan tanah air untuk menjadi ahli CCIG dengan segera sekali gus menyelesaikan isu dan kemelut status warganegara yang mendapat liputan meluas akhbar dan laman blog ketika ini.
“CCIG memberi peluang kepada mereka untuk menjadi ahli bersekutu CCIG yang ditawarkan kepada artis yang bukan warganegara.
“Sebagai ahli bersekutu CCIG, artis luar juga bebas untuk bekerja di negara ini dengan mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan dari segi undang-undang seperti menjelaskan cukai pendapatan dan sebagainya lagi,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya akan memberikan keahlian eksklusif kepada mana-mana artis luar yang tampil ke depan untuk menjadi ahli CCIG.
“Terus terang, kita tidak boleh sekat kemasukan artis luar ke negara ini kerana kita perlu bersaing secara sihat dan mendapat kepakaran daripada mereka untuk mengangkat martabat bidang seni tempatan.
“Saya percaya, bidang seni kita tidak akan maju jika kita berasa diri sudah hebat dengan sekadar menjadi jaguh kampung?” katanya. ~ Metro
0 ulasan:
Catat Ulasan