Hanya Dengan Bismillah mengisahkan kesukaran seorang wanita untuk menguruskan rumah tangga selepas kematian suami. Biarpun bermula dengan kepayahan tetapi dengan kecekalan segala kepayahan dapat diatasi.
Pun begitu, lumrah hidup manusia selalu melihat ada insan yang sanggup menangguk di air keruh dan menjadi gunting dalam lipatan. Walau pada dasarnya, dia adalah teman baik namun demi membolot harta, apa saja sanggup dilakukan termasuk mengkhianati sahabat sendiri.
Itulah yang terjadi pada nasib Alias lakonan Arash Mohd dan Hadi (Shahrol Nizam) yang berdepan musuh dalam selimut.
Segala konflik mula terbongkar selepas kematian mengejut Alias akibat diserang sakit jantung. Ketika itu juga rakan Alias, Hadi, bercerai dengan isterinya.
Selaku ketua keluarga menggantikan suaminya, Zulaikha (Marissa Yasmin) secara mutlak menjadi pemegang saham terbesar syarikat diusahakan Alias iaitu AZ Motor Sdn Bhd.
Namun disebabkan kurang arif mengenai selok-belok perniagaan secara tidak langsung memudahkan Hadi memanipulasi keadaan.
Apapun, menyedari bisnes yang dibina arwah Alias perlu dimajukan demi menjamin masa depannya dia dan anak mereka, Zulaikha nekad masuk ke pejabat serta nekad belajar dari bawah. Biar pada awalnya, dia terkial-kial menjalankan tugas, dengan bantuan Munir, salah seorang kakitangan pejabat itu, akhirnya memudahkan kerja Zulaikha.
Akhirnya Zulaikha mulai sedar bahawa Hadi banyak menyelewengkan wang syarikat. Tidak lekas melatah, Zulaikha memantau pergerakan Hadi dan pada masa sama, dia meningkatkan pengetahuannya mengenai perniagaan.
Mampukah Zulaikha bangkit menewaskan Hadi yang berniat buruk? Apakah juga tangan seorang wanita yang menghayun buaian sebelum itu berjaya menggoncang dunia?
Secara tidak langsung, jelas menunjukkan drama Hanya Dengan Bismillah yang memuatkan 13 episod ini cuba mengetengahkan semangat kental seorang wanita yang tabah.
Pelakon drama Hanya Dengan Bismillah: Marissa Yasmin sebagai Zulaika, Shahrol Nizam (Hadi), Arash Mohd (Alias), Shenthy Feliziana Sudirman (Nusrah), Watie Sadali (Saerah), Fareth Rudy Agang (Tariq), Afiq Muiz Azman Shah (Munir), Muhammad Fadzrin Danial Abdul Jamil (Kabir), Puteri Balqish Azizi (Khalisha), Dian P Ramlee (Datin Marisa, Maimon Talib (Mak Salmah), Zaidi Omar (Tan Sri Johari) dan Fadhil Dani (Datuk Tarmizi)
TERBITAN: Global Station Sdn Bhd
PENERBIT: Datin Zaiton Muhd Jiwa
PENGARAH: Raja Ahmad Alauddin Raja Mohd
0 ulasan:
Catat Ulasan