Ujibakat Bintang Klasik 2012

Memasuki tahun keenam penganjurannya, uji bakat pencarian Bintang Klasik 2012 bakal bermula di seluruh negara.

Program dwitahunan yang diselangselikan penganjurannya dengan Pertandingan Bintang Nostalgia diadakan sejak 2007 lalu itu kini membuka penyertaan kepada warga negara Malaysia berusia 16 hingga 35 tahun. Peserta juga diminta mendendangkan lagu-lagu ciptaan tempatan kategori malar segar yang dirakam sekitar era 50-an, 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an saja.

Bakal menjadi lokasi pertama uji bakat, RTM akan menjelajah ke bahagian utara terlebih dulu iaitu bertempat di RTM Perlis pada 23 Jun ini. Juga berlaku serentak, uji bakat pada hari sama akan diadakan di RTM Kota Kinabalu, Sabah dan dilanjutkan pada hari esoknya, 24 Jun, untuk lokasi Kota Kinabalu. Manakala, lokasi lain termasuklah RTM Pulau Pinang (24 Jun), manakala uji bakat akan diadakan serentak pada 30 Jun ini untuk lokasi RTM Kedah, RTM Perak, RTM Negeri Sembilan dan RTM Melaka.

Sekiranya terlepas peluang untuk ke uji bakat di lokasi-lokasi yang dinyatakan, peluang masih dibuka menerusi uji bakat pada 1 Julai di RTM Kelantan dan Auditorium P Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur. Uji bakat seterusnya pula berlangsung di RTM Terengganu pada 7 Julai dan di RTM Pahang (8 Julai).

Buat penduduk di selatan tanah air pula, uji bakat akan diadakan pula pada 14 Julai ini di RTM Johor. Tirai uji bakat akan ditutup dengan pencarian di lokasi iaitu RTM sekitar negeri Sarawak pada 15 Julai. Uji bakat akan bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang.

Untuk pertandingan akhir pada tahun ini, habuan lumayan menanti finalis yang dijangkakan berlangsung sekitar September nanti. Hadiah tempat pertama menawarkan wang tunai berjumlah RM10,000 serta trofi, tempat kedua RM7,000 serta trofi manakala tempat ketiga RM5,000 serta trofi. Tidak ketinggalan, sembilan hadiah sagu hati bernilai RM1,500 serta trofi disediakan kepada finalis.

Biarpun arus modenisasi semakin rancak, penganjuran program ini diharapkan mampu menyegar semangat dan menyemai kecintaan terhadap lagu-lagu malar segar terutamanya kepada generasi muda. Program seperti ini seharusnya perlu sentiasa dianjurkan dari semasa ke semasa agar budaya dan tradisi lama tidak luntur ditelan zaman.

Kebelakangan ini, golongan remaja dan belia terutamanya semakin melupakan lagu-lagu berentak malar segar, klasik, asli dan juga tradisional. Mereka lebih gemar mende­ngar serta mendendangkan lagu-lagu berentak moden dan terkini yang pada firasat mereka, lebih dekat dan sesuai dengan cita rasa. Malah di corong-corong radio juga kita lebih kerap dialunkan dengan lagu-lagu moden berbanding lagu berentak ini.

Penyertaan kini dibuka dan borang sudah mula diedarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang berhampiran anda. Jangan lupa bawa bersama gambar berukuran pasport sewaktu uji bakat diadakan nanti. Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, sila hubu­ngi 03-22887836.

1 ulasan:

  1. Kalau boleh buat pencarian kat PKPB BUKIT KENAU,MUKIM PULAU MANIS,P26640,PEKAN,PAHANG.Lagi ramai nak join!!!!

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top