Sinopsis A Untuk Abah

A Untuk Abah mengisahkan anak yang tertekan kerana terpaksa memenuhi kemahuan si ayah dalam mengejar cita-citanya.

Ia bermula dengan watak Fahmi yang pada usia remajanya seorang pelajar genius dan sentiasa memperoleh keputusan cemerlang di dalam pelajarannya. Cita-cita Fahmi ingin menjadi pakar jantung. Bapanya, Latif, adalah bapa tunggal yang menghidap penyakit lemah jantung tanpa disedari oleh Fahmi.

Tetapi malangnya Latif meninggal dunia akibat serangan jantung pada hari Fahmi mendapat pengiktirafan sebagai pelajar terbaik di peringkat negeri. Kejadian itu membuatkan Fahmi amat kecewa kerana bapanya tidak sempat melihat kejayaannya. Sejak hari itu, pelajaran Fahmi semakin merosot sehingga dia hanya mampu mendapat keputusan sederhana pada peringkat SPM sekali gus cita-citanya untuk menjadi pakar jantung gagal dan hanya berjaya menjawat jawatan sebagai Pembantu Perubatan di Klinik Desa kerajaan saja.

Kini Fahmi berusia 40 tahun dan hasil perkahwinannya dengan Suraya, mereka dikurnia anak lelaki tunggal bernama Azmi yang mewarisi sifat semula jadi genius daripada ayahnya (Fahmi). Azmi yang sedang belajar di tingkatan 3 akan menduduki peperiksaan PMR.

Azmi seorang yang berjiwa seni manakala Fahmi terlalu mengharapkan Azmi supaya dapat menyambung pelajaran di dalam aliran Sains Tulen dan diharapkan untuk menjadi seorang doktor pakar bagi memenuhi cita-cita yang gagal dicapainya.

Sewaktu keputusan PMR diumumkan, Azmi nekad melarikan diri ke kampung datuknya. Ketika di kampung, dia bertemu budak lelaki penjual kuih bernama Jai yang hidup susah bersama ibunya. Ia memberikan pengajaran kepada Azmi mengenai hasrat murni bapanya yang mahukannya berjaya dalam hidup.

Drama A Untuk Abah pasti mampu meruntun perasaan penonton dengan lakonan berkesan Shafie Naswip menghayati watak seorang anak yang dihambat rasa tertekan akibat diugut ayahnya supaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Shafie berganding mantap bersama pelakon berkarakter, Kazaruddin Saisi sebagai watak ayah yang tegas, Radhi Khalid, Liza Abdullah, Zila Bakarin dan Norseha.

Drama A Untuk Abah disiarkan pada 16 Jun, jam 3.05 petang di TV1 sempena Hari Bapa.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top