Aina Mentor Legend Tak Sangka Ke Pentas Final Mentor Legend

Di konsert ketiga Kumpulan B ‘Mentor Legend’, nama protege Ratu Rock Ella, Aina diumumkan sebagai peserta yang gagal melangkah ke peringkat separuh akhir. Namun begitu, kejutan dilakukan oleh tenaga produksi dengan menyerap kembali Aina untuk sama-sama bersaing dengan lima lagi peserta di peringkat separuh akhir pertandingan realiti nyanyian itu. Mengambil peluang yang diberikan dengan bersungguh-sungguh, akhirnya Aina berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir bersama Azmil dan Sarah, menyingkirkan peluang untuk Fahmie, Nadeera dan Tuah.

“Saya langsung tidak menjangkakan yang saya dapat menempatkan diri ke peringkat akhir. Dalam fikiran saya hanyalah mahu mencuba sehabis baik kerana peluang yang diberikan selepas diserap ke persaingan separuh akhir merupakan satu peluang keemasan. Setiap kali menyanyi, sifu saya selalu sematkan dalam fikiran saya yang ini merupakan persembahan terakhir saya, jadi saya harus all out kepada semua yang menonton,” ujar Aina yang ditemui usai konsert separuh akhir kedua ‘Mentor Legend’.


Mengakui yang persaingan sangat sengit, Aina memberitahu jenis lagu yang diminatinya kurang sesuai untuk dipersembahkan dalam pertandingan nyanyian seperti ‘Mentor Legend’.

“Saya suka muzik genre R&B tetapi bekerja sebagai satu kumpulan bersama mentor saya dan team-nya, kami selalu berbincang sebelum memutuskan lagu apa yang bakal dibawakan dalam pertandingan. Apa yang saya suka mungkin tidak sesuai dengan ‘Mentor Legend’ jadi saya serahkan kepada yang pakar,” katanya.

Bertemu dengan Ella, pelantun lagu “Permata Pemotong Permata” ini mengakui perasaannya bercampur baur.

“Saya rasa terharu, gementar dan kacau bilau. Perasaan saya bercampur baur. Semuanya saya rasakan apabila Aina berjaya ke peringkat akhir ‘Mentor Legend’. Namun begitu, syukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua yang menyokong Aina.”

Belum lagi mendapat kepastian lagu apa yang bakal dinyanyikan oleh Aina ketika persaingan akhir nanti, Ella merasakan lagu-lagu rock yang pernah dibawanya kurang sesuai untuk Aina.

“Saya belum lagi memikirkan apa yang bakal dilakukan sewaktu pertandingan akhir nanti. Ada juga yang bertanya, kenapa Aina tidak menyanyikan lagu-lagu saya sewaktu ‘Mentor Legend’. Aina memang boleh bawakan lagu saya tetapi mungkin untuk pertandingan ini, bukan waktunya untuk dia bawakan lagu saya,” ujarnya menutup bicara. ~ TV#

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top