Teater Mek Mulung di Istana Budaya 28 Februari, 1 Mac 2015

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Grup Teater AKRAB serta Istana Budaya terpanggil untuk menggalas tanggungjawab bagi mementaskan teater tradisional Mek Mulung di Panggung Sari, Istana Budaya.

Pementasan Mek Mulung ini adalah sebagai satu usaha pemuliharaan dan pembangunan kesenian tradisional di negara ini. Ia adalah selaras dengan pengisytiharan tahun 2015 sebagai Year Of Festival dan hasrat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menjadikan produk seni budaya sebagai tarikan pelancong.

Hal ini juga sesuai dengan visi JKKN khasnya untuk memupuk masyarakat Malaysia yang mempunyai jati diri tinggi, mengamalkan nilai-nilai murni, serta mendukung seni untuk seni, seni budaya untuk kesejahteraan masyarakat dan seni budaya untuk penjanaan ekonomi.

Pementasan Teater Tradisional Mek Mulung di Istana Budaya ini merupakan pementasan berskala besar dan adalah pengiktirafan kepada seluruh penggiat seni tradisional khususnya penggiat teater tradisional Mek Mulung.


Ia akan dipentaskan pada 28 Februari dan 1 Mac depan di Panggung Sari, Istana Budaya. Pementasan 28 Februari ialah pada sebelah malam jam 8.30 malam dan 1 Mac pula pada jam 3 petang. Tiket menonton pementasan ini dijual pada harga RM23, RM53 dan RM83.

Hal ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa pembabitan dan perjuangan serta kerjasama dari pelbagai pihak. Lantaran itu JKKN mengambil pendekatan untuk terus bekerjasama dengan Grup Teater AKRAB bagi aspek lakonan dan muzik.

Apatah lagi Kerajaan Kedah juga telah mengisytiharkan teater tradisional Mek Mulung sebagai Seni Warisan Kedah yang diharap bakal membuka jalan kepada pengiktirafan Warisan Dunia oleh UNESCO.

JKKN merasakan sudah tiba masanya Mek Mulung diberi peluang untuk dipentaskan di pentas bertaraf antarabangsa, Istana Budaya. Ini adalah satu lagi usaha agar ruang dan peluang untuk pengiktirafan warisan dunia.

Bagi memastikan keunikan dan keaslian Mek Mulung terpelihara, JKKN turut mengundang kedua-dua tokoh Mek Mulung negeri Kedah iaitu Saad Taib dan Ahmad Shahadan sebagai penasihat bagi produksi Mek Mulung di Istana Budaya ini.

Manakala Saipol Bahari (AKRAB) dan Zulkarnain Ramly akan menggarap pementasan di Istana Budaya ini bersesuaian dengan taraf pementasannya. Ia turut dibintangi Arja Lee, Izreen Azminda dan Shamsun Nadia.

Tiket bagi menyaksikan persembahan Mek Mulung ini berharga RM23, RM53 dan RM 83 dan boleh didapati dengan melayari www.airasiaredtix.com atau dengan membelinya di kaunter tiket box-office Istana Budaya. 10 peratus diskaun bagi warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelajar.

Mek Mulung (Mek Mulong) ialah teater tradisional masyarakat Melayu yang berasal dari negeri Kedah Darul Aman. Mek Mulung dipercayai bermula di Ligor, Siam dan berkembang di Kampung Wang Tepus, Tanah Merah, Jitra, Kedah.

Teater tradisional ini menggabungkan unsur lakonan, nyanyian, tarian dan muzik dalam satu persembahan. Difahamkan terdapat 20 himpunan cerita hikayat asal Mek Mulung tetapi hanya beberapa cerita yang masih kekal sehingga ke hari ini.

"Putera Cahaya Bulan" menjadi naskhah pertama Mek Mulung yang bakal dipentaskan di IB setelah mendapat sambutan memberangsangkan. Usaha pembangunan dan penyemarakan Mek Mulung telah dilaksanakan sejak tahun 2005 melalui aktiviti penyelidikan dan perantisan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top