Nurul berkongsi pengalaman lahirkan Raphael Depp melalui pembedahan (Caesarian)

Pengalaman melahirkan anak ketiga yang diberi nama Raphael Depp pada 15 Januari lalu sungguh berbeza apabila melalui proses pembedahan (Caesarian).

Nurul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab mengakui takut apabila dimaklumkan mengalami masalah 'placenta previa' atau uri berada di bawah dan terpaksa menjalani pembedahan.

Ketika itu dia tidak putus-putus berdoa semoga kedudukan urinya kembali normal sebelum melahirkan anak, tetapi terpaksa akur dengan nasihat doktor apabila mengalami pendarahan kali kedua disebabkan uri semakin ke bawah.


"Sebelum ini saya bersalin secara normal, jadi tentu saya 'goyang' apabila perlu dibedah buat kali pertama. Saya takut membayangkan prosedur dalam bilik bedah bagi mengeluarkan bayi.

"Saya bertanya doktor, masihkah ada harapan untuk bersalin normal, tetapi dia tidak berani memberi jaminan memandangkan kandungan berusia lapan bulan.

"Selepas mengalami pendarahan kedua, saya reda. Sudah tidak ada pilihan, suka atau tidak saya kena lawan perasaan takut itu," katanya yang popular dengan lagu Kerana Terluka.

Dua minggu berpantang, Nurul bersyukur kerana semakin sihat. Pun begitu, dia tidak boleh bergerak banyak dan perlu berhati-hati kerana luka belum sembuh sepenuhnya.

Jika ada pilihan Nurul lebih suka melahirkan anak secara normal kerana tidak perlu menanggung kesakitan dalam tempoh lama, malah dari segi penjagaan pun lebih mudah.

"Luka semakin kering. Alhamdulillah, proses penyembuhan berjalan lancar dan tiada komplikasi. Beza melahirkan normal dan pembedahan tidak banyak, cuma apabila dibedah tidak boleh bergerak terlalu banyak.

"Di luar luka nampak kering dan semakin sembuh, tetapi di bahagian dalam kita tidak tahu bagaimana keadaannya. Ini kerana bukan satu atau lapisan saja yang dijahit. Proses penyembuhan juga mengambil masa lama, kena betul-betul sihat baru boleh buat kerja berat.

"Saya pelik apabila wanita lebih suka melahirkan anak secara pembedahan. Bagi saya, proses itu lebih sakit berbanding bersalin secara normal. Apabila ubat bius hilang, saya rasa sangat sakit. Nasib baik ada ubat tahan sakit," katanya.

Menerusi laman sosial Instagram miliknya, Nurul gigih mempromosikan produk barangan bayi yang dihasilkan daripada bahan organik. Dia menggunakan produk berkenaan ketika melahirkan anak keduanya, Zachary.

"Sebagai ibu, kita harus peka dengan setiap produk yang digunakan. Saya suka produk ini kerana ia dibuat daripada bahan organik. Kita harus ingat, setiap benda yang kita sapu pada kulit akan menyerap masuk ke pembuluh darah.

"Sedangkan kita pun terdedah dengan bahan berbahaya, inikan pula bayi yang baru lahir. Imunisasi badan masih rendah dan mudah diserang penyakit. Justeru kita kena berhati-hati dengan pemilihan produk," tegasnya.

Walaupun anaknya dilahirkan sebulan lebih awal dengan berat 2.45 kilogram, Nurul bersyukur kerana Raphael hanya dimasukkan ke dalam inkubator selama sehari. Kata Nurul, Raphael lebih banyak tidur berbanding abangnya.

Berkongsi reaksi Zachary apabila melihat Rapheel, Nurul berkata, anak keduanya sangat menyayangi adiknya. Meskipun dia lebih banyak menghabiskan masa dengan Raphael, Zachary sedikit pun tidak menunjukkan reaksi cemburu atau rasa kurang senang.

Raphael ditawarkan menjadi duta produk bayi terkenal, Johnson & Johnson untuk pasaran India, namun peluang keemasan itu terpaksa dilepaskan berikutan usianya terlalu muda.

"Peluang seperti itu mungkin hanya datang sekali seumur hidup, tetapi saya harus mengutamakan keadaan Raphael. Dia masih kecil dan penggambaran pula dijalankan di Manila. Andai penggambaran dilakukan di Malaysia, mungkin saya pertimbangkan.

"Semuanya bermula apabila seorang kawan memuat naik gambar Raphael di laman sosialnya. Tiba-tiba kami mendapat panggilan daripada wakil jenama itu. Saya bimbangkan Raphael kerana dia bayi pra-matang," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top