Zul Ariffin hero pujaan Malaya

Karier lakonan Zul Ariffin kini berada di puncak populariti dek penangan drama Rindu Awak 200 Peratus yg memberi memberi impak besar.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin turut mendapat jolokan ‘hero pujaan Malaya’, cukup menarik perhatian ramai wanita. Lakonan watak romantiknya amat berkesan dan berjaya menyentuh hati.

Ini dapat disaksikan pada kemunculannya ketika hadir tayangan dua episod akhir drama Istikharah Cinta di Restoran Rasta Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Jumaat lalu.

Drama arahan Azmi Hatta itu mengisi slot popular, Akasia di TV3 yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 7 malam. Zul melakonkan watak utama sebagai Airil.


Sebaik kelibat Zul muncul, suasana seluruh restoran Rasta menjadi gamat dengan jeritan peminat yang rata-ratanya wanita. Zul juga dilihat diiringi dua lelaki bertubuh sasa.

Pada mulanya, kehadiran dua lelaki itu disangkakan kakitangan daripada stesen TV. Namun, apabila dirisik mereka didakwa ‘pengawal peribadi’ kepada Zul.

Zul yang ditemui selepas tamat tayangan drama itu berkata, dua lelaki itu bukan pengawal peribadinya tetapi mereka adalah kalangan rakan yang datang membantu.

“Kedatangan dua lelaki itu untuk membantu mengawasi pergerakan saya daripada terus dikerumuni peminat yang ramai. Kini, saya memang perlukan khidmat mereka.

“Ia secara tidak langsung memudahkan saya untuk sesi ramah mesra bersama peminat. Itu pun, mereka hanya muncul mengawasi saya pada majlis hiburan yang besar.

“Macam malam ini (Jumaat lalu), ada dua orang bersama saya. Kehadiran mereka berdua memang banyak membantu,” katanya.

Ditanya sama ada dia menerima sebarang ancaman keselamatan daripada mana-mana pihak, Zul berkata, setakat ini dia tidak pernah diugut sesiapa.

Menyentuh juga apakah dua rakan ‘pengawal peribadi’ itu dititipkan kekasih hati untuk menjaga keselamatan dirinya ketika berada di khalayak umum, Zul turut menafikannya.

Berbicara mengenai perkembangan kerjayanya, Zul berkata, dia menerima banyak tawaran berlakon dan akan terus sibuk sehingga Ogos nanti. Mengakui dia juga tidak terkejar-kejar untuk menjadi hero filem, Zul memaklumkan kini rezekinya memang banyak untuk berlakon drama bersiri.

“Melihatkan sokongan diberikan peminat, mereka suka dan lebih menyokong saya berlakon drama. Justeru, buat masa ini fokus saya kepada berlakon drama saja.

“Selagi peminat memerlukan saya dan mahu menonton lakonan saya, tak kisah kalau perlu jadi hero drama selalu,” katanya.

Mengakui sokongan peminat adalah tulang belakang kepada kejayaannya kini, Zul berkata, dia juga lebih berminat menerima tawaran berlakon berdasarkan karya dan watak yang bagus. ~ Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top