Azmil Mentor Legend Berterima Kasih Pada Semua

“Saya memang tidak menjangkakan yang saya akan ke peringkat akhir ‘Mentor Legend’. Saya akui yang saya sedikit gementar untuk minggu ini kerana selepas tiga kali meraih tempat teratas, saya rasa tertekan untuk mempersembahkan sesuatu yang terbaik. Akhirnya, saya berjaya mara ke pentas akhir dan saya rasa sangat bersyukur. Ini adalah berkat doa ibu bapa, keluarga, mentor dan team Dayang Nurfaizah serta semua yang menyokong saya. Terima kasih saya ucapkan buat semua,” kata Azmil membuka bicara.

Mengimbas kembali apa yang berlaku pada dirinya di awal persaingan ‘Mentor Legend’, di mana dia telah memberikan persembahan yang kurang memberangsangkan, Azmil bangkit membuktikan dia layak dan berbakat.

Azmil Mentor Legend

"Saya sangat gugup dan gementar di awal persaingan ‘Mentor Legend’. Saya tidak pernah menyanyi di hadapan orang ramai. Secara perlahan-lahan, saya dapat mengatasi perkara itu sedikit demi sedikit. Semuanya adalah kerana nasihat dan tunjuk ajar mentor saya. Kini saya masih gementar tetapi perasaan itu kurang berbanding dahulu. Saya mahu melakukan yang terbaik untuk peringkat akhir dan mahu membuktikan bakat saya,” kata pemilik nama penuh Azmil Karim ini.

Menemui mentornya, Dayang Nurfaizah, pelantun lagu “Di Pintu Syurga” ini gembira kerana Azmil berjaya melangkah ke peringkat akhir. Namun begitu, di sebalik kegembiraan Dayang, penyanyi ini mengakui yang pesaing Azmil, Sarah dan Aina tidak kurang hebatnya.

“Saya gembira apabila anak didik saya berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir ‘Mentor Legend’. Namun begitu, dua pesaing Azmil iaitu Sarah dan Aina juga tidak kurang hebatnya. Kini tinggal Azmil seorang sahaja peserta lelaki tunggal dan saya mahu menampilkan kelainan dalam persembahan Azmil di peringkat akhir nanti,” kata Dayang.

Mengulas mengenai pemilihan lagu penyanyi Indonesia yang seringkali dinyanyikan oleh Azmil di ‘Mentor Legend’, Dayang menyatakan lagu-lagu yang dipilih untuk dipersembahkan oleh Azmil adalah bersesuaian dengan kebolehan vokal Azmil.

“Pemilihan lagu yang dinyanyikan oleh Azmil adalah berdasarkan tone suaranya. Bukan tiada lagu Malaysia yang bagus, tetapi kebanyakan lagu tempatan kurang sesuai dengan vokal Azmil. Saya ada juga mencuba untuk Azmil bawakan lagu Dato’ Jamal Abdillah dan Allahyarham Dato’ Sudirman, tetapi kurang bersesuaian dengan suaranya. Lagu-lagu seberang lebih sesuai dengan nada suara Azmil. Tetapi untuk persaingan akhir nanti, saya sedang memikirkan untuk melakukan sesuatu kelainan dan pembaharuan untuk Azmil,” ujar Dayang mengakhiri perbualan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top