Cinta jarak jauh Nicole Scherzinger dan  Lewis Hamilton

Percintaan antara dua nama besar dalam industri ini mencetuskan inspirasi terhadap peminat terutama pengikut tegar masing-masing. Sudah bersama sejak 2007, anggota Pussycat Dolls, Nicole Scherzinger, 36, dan pelumba Formula 1, Lewis Hamilton, 30, tidak syak antara pasangan selebriti paling popular.

Seperkara yang ditunjukkan mereka dan menjadi pujian kerana saling menyokong meskipun sering berjauhan, Nicole mahupun Lewis akan berusaha hadir pada hari ‘penting’ masing-masing.

Biarpun di mata peminat percintaan mereka semakin mekar dan seakan-akan tiada masalah, beberapa kali juga pasangan itu putus sebelum bersama semula. Bagaimanapun, baru-baru ini, akhirnya mereka mengumumkan sudah berpisah lagi dan bezanya perpisahan kali ini kedengaran lebih serius berbanding sebelumnya.

Nicole Scherzinger,Lewis Hamilton

Nampak sangat terkesan, Lewis belum menerima hakikat mengenai perpisahan itu dan dia berdiam diri sejak keputusan berkenaan dibuat minggu lalu. Apatah lagi, dia sendiri masih perlu meneruskan beberapa perlumbaan di merata dunia, tentu sekali dia tidak mahu perkara itu mengganggu fokusnya.

Apapun, atas dasar terharu dengan sokongan peminat yang tidak henti-henti memberikan semangat, dia mengambil keputusan untuk bercakap menerusi akaun Twitter miliknya.

“Hai semua. Saya mahu berterima kasih terhadap kasih sayang dan sokongan anda terutama pada masa sukar ini,” ringkas saja tweet ditulisnya.

Sementara, Nicole pula sudah memberikan kenyataannya sehari selepas perpisahan itu dengan penyanyi berkenaan sangat kecewa mengenai apa yang terjadi.
“Hati saya remuk sama sekali kerana nampaknya hubungan itu tidak menjadi. Ia adalah satu keputusan yang sukar untuk kami buat, tetapi kami perlu melakukannya,” katanya.

Tidak menjelaskan sebab sebenar kenapa perpisahan itu terjadi, penyanyi terbabit mengakui mereka masih saling mencintai meskipun perpisahan itu adalah kali keempat.

“Saya cintakan Lewis dan saya tahu dia juga cintakan saya. Cuma buat masa ini apa yang terbaik adalah mendoakan kebahagiaan masing-masing dan saya mesti kuatkan semangat,” katanya.

Tidak ketinggalan, dia juga menerusi satu wawancara baru-baru ini, memberi bayangan perpisahan itu kemungkinan besar disebabkan dia sudah tidak mampu bertahan dengan percintaan jarak jauh mereka.
“Banyak pengorbanan terpaksa dibuat termasuk meninggalkan LA (Los Angeles), ketepikan kawan-kawan dan ahli keluarga,” katanya.

Bagaimanapun, sebagai mengubati kekecewaan itu, Nicole tidak menolak kemungkinan yang dia tetap akan berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri nanti meskipun jodohnya bukan dengan Lewis.
- metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top