Mizz Nina, Noh Salleh ikon kempen Cantik Di Mata

Mizz Nina memberitahu dia menerima banyak tawaran untuk memberi ceramah berkaitan agama Islam sejak menutup aurat sepenuhnya setahun yang lalu.

Namun Mizz Nina berkata, dia terpaksa menolak tawaran tersebut kerana merasakan dirinya belum layak dan bersedia ke arah itu.

"Sejak berpenampilan menutup aurat setahun lalu, saya banyak terima undangan mengadakan ceramah di majlis-majlis agama.

"Saya terpaksa tolak kerana saya tidak layak untuk bercakap soal agama dan masih lagi belajar mendalami agama Islam, melainkan ia hanya sekadar berkongsi pengalaman berhijrah, " kata Mizz Nina.

Mizz Nina dan suaminya penyanyi Noh Salleh dilantik sebagai ikon bagi kempen Cantik Di Mata.

Penyanyi itu dan suaminya penyanyi Noh Salleh dilantik sebagai ikon bagi kempen yang bertujuan memberi kesedaran tentang menutup aurat.

Sementara itu, Mizz Nina berkata, dia kini menyambung pengajian di Yayasan Ta'lim dengan kerjasama Institut Arees, Texas, Amerika Syarikat dalam proses mendalami Islam.

"Sekarang saya banyak habiskan masa belajar di tempat yang sama dengan Natasha Hudson iaitu di Institut Arees.

"Selain itu juga, jika ada kelas agama berkaitan mengaji Al-Quran dan tajwid saya akan sertai," ujarnya.

Dalam pada itu, mengulas tentang kempen menutup aurat itu, Mizz Nina berkata, dia menganggap aktiviti tersebut sebagai salah satu cara untuk dia berdakwah.

Katanya, tanggungjawabnya sebagai ikon bukan bertujuan memaksa setiap orang menutup aurat sebaliknya memberi inspirasi kepada orang ramai melalui penampilannya.

"Saya ditawarkan sejak sebulan lalu dan saya terima kerana ia sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini.

"Tugas saya ialah untuk beri inspirasi kepada masyarakat tentang kehidupan disebalik berpenampilan tersebut," ujarnya.

Kempen yang bermula 14 Februari itu dianjurkan oleh Badan Bukan Kerajaan Islamic Aid Malaysia ( AID) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  (Jakim).

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Media Jakim, Datuk Mustafa Kamal A. Razak dan Presiden Islamic Aid Malaysia (AID), Datuk Ismail Noor. ~ Mstar

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top