Filem Villa Nabila laku di Astro First

Setelah berjaya mengutip hampir RM3 juta di pawagam, filem Villa Nabila terus mendapat sambutan hangat di Astro First.

Perkara itu diakui sendiri oleh penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam kepada Zass.

Menurut Yusof, dia tidak boleh berkongsi lanjut jumlah kutipan terkini di Astro First, namun tidak menafikan filem arahan anaknya, Syafiq, mendapat sambutan menggalakkan setelah empat hari ditayangkan di Astro First.

"Alhamdulillah, saya cukup bersyukur apabila filem Villa Nabila mendapat sambutan yang cukup hangat di pawagam.

"Dalam keadaan industri perfileman kita yang merudum kini, Villa Nabila berjaya mengutip hampir RM3 juta setelah tiga minggu ditayangkan di pawagam.

"Saya harap sambutan sama akan diterima sepanjang tayangan di Astro First. Bagaimanapun saya tidak pasti berapa lama filem berkenaan akan ditayangkan di Astro First kerana ia bergantung kepada sambutan yang diterima," katanya.

Tambah Yusof, dia tidak menyangka, filem yang dibikin dengan bajet terendah dalam sejarah filem terbitan Skop Production itu akan mendapat sambutan yang cukup hangat.

"Kos pembikinan filem tersebut sekitar RM1 juta. Dengan kutipan RM3 juta, ia secara tidak langsung telah membawa keuntungan balik modal.

"Saya tak sangka filem eksperimental seram pertama arahan Syafiq berjaya menarik penonton. Secara tidak langsung membuktikan filem Melayu masih mempunyai pengikut dan peminat jika karya yang ditayangkan kena pada selera mereka," ujarnya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top