DEMAM Minggu Setiausaha terus berlangsung dan antara yang menjadi perhatian adalah persembahan penyanyi lagu Sedetik Lebih, Anuar Zain.

Apa yang menarik, Anuar turut mencipta sejarah peribadi apabila diundang mengadakan persembahan bertemakan acara itu di tiga negeri berbeza.


Bagi peminat Anuar Zain di Selatan Semenanjung, persembahan akan diadakan di Dewan Tanjung Puteri, Persada Johor, Johor Bahru, pada 19 April ini.

Apatah lagi penganjurnya Johor Corporation sudah lama merancang untuk membawa Anuar bertandang ke Johor iaitu sejak enam tahun lalu. Hanya baru sekarang kesempatan itu diperoleh.


Jelas Pengurus Anuar Zain, Rohila Tahir, sewaktu dihubungi RAP, ini pertama kali membabitkan tiga negeri.


“Dulu pada 2005, Anuar pernah juga beraksi di tiga lokasi tapi dua negeri saja iaitu dua di Kuala Lumpur dan satu lagi Kuching, Sarawak.

“Kami sebenarnya sudah lama ingin beraksi dalam sambutan acara ini di Johor Bahru tapi ia selalu bertembung dengan jadual Anuar. “Sekarang, Anuar kebetulan ada masa masa terluang jadi kami terus bersetuju untuk bertemu peminat di Johor. Memang Anuar sedang sibuk dengan pembikinan album solo terbaru tapi dia sempat mencuri masa untuk menjayakan persembahan Minggu Setiausaha kali ini,” kata Rohila.


Menyentuh mengenai corak persembahan Anuar di Dewan Tanjung Puteri kelak, Anuar akan beraksi dengan diiringi muzik minus-one selama tempoh 45 minit.

“Tiada sebarang gimik dirancang kerana sebelum ini pun Anuar memang tidak pernah membuat sebarang gimik. Sebaliknya peminat lebih gemar mendengar Anuar mengalunkan suaranya untuk menyanyikan lagu yang mereka minati. “Mengenai lagu pula, kebanyakannya adalah sama dengan dua lagi persembahan yang diadakan. Lagipun itulah lagu-lagu yang selalu diminta peminat untuk dinyanyikan. Kami setuju dengan permintaan mereka,” katanya.


Dalam pada itu apabila ditanya mengenai isu peluk dan cium yang sering kali terjadi setiap kali Anuar menjayakan ‘dinner show’ dan Minggu Setiausaha, Rohila berkata, semuanya bergantung kepada peminat Anuar sendiri.


“Apa-apa yang berlaku selalunya di luar kawalan kami. Rasanya semua peminat Anuar sudah dewasa dan mereka mampu berfikir demi kebaikan bersama termasuk Anuar. Kita harap kejadian yang sebelumnya janganlah berulang lagi kerana nanti kesan buruk itu akan dirasai Anuar sendiri,” katanya.


Sementara itu Eksekutif Perhubungan Awam, Johor Corporation Bahagian Hospitaliti, Haliza Salim, menjelaskan selain menyaksikan persembahan Anuar, hadiah lumayan turut menanti penonton bertuah, antara iPad, iPhone 4, TV LCD dan komputer riba.


Sebanyak 30 peratus meja masih lagi dijual dengan harga RM10,000, RM5,000, RM3,500, RM2,500 dan RM1,500. Mereka berminat boleh melayari laman web Johor Corporation di www.persada johor.com untuk pertanyaan lanjut.


“Kami juga berbesar hati apabila Yang Amat Mulia Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah, turut berkenan mencemar duli menyaksikan persembahan ini. Selaku Penaung Persatuan Pandu Puteri, sebahagian daripada hasil jualan meja akan disalurkan kepada badan kebajikan,” katanya.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top