AGAKNYA itulah yang dikatakan rezeki orang berumah tangga. Sebaik habis cuti perkahwinan dua minggu Ayu Raudhah tidak goyang kaki di rumah.
Dalam tempoh hampir tiga bulan selepas menjadi suri pemain bola sepak skuad kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abdul Radzak, 23, sudah empat produksi drama Ayu selesaikan. Dua daripada produksi itu daripada naskhah drama bersiri dan dua lagi adalah telemovie.
"Syukur sangat. Saya cuma sempat cuti dua minggu selepas kahwin, setelah itu banyak masa dihabiskan di lokasi," katanya.
Dalam rasa bercampur bahagia, dia dan Zaquan masing-masing masih bertukar-tukar kediaman, sekejap di rumah lama Ayu di Subang, Selangor dan sekejap di Seremban. Pasangan tersebut berkahwin pada 21 Januari lalu.
"Kadang-kadang rasa macam masih di alam berkasih-kasihan. Saya sibuk dengan jadual penggambaran. Bila ada waktu cuti sehari atau dua hari, kami akan jumpa.
"Kemudian apabila Zaquan ada latihan, pagi-lagi lagi dia akan bergerak balik ke Seremban, saya pula ke lokasi penggambaran.
"Macam baru-baru ini, saya sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Mata Ayer di Perlis, jadi masa bersama sangat terhad," katanya yang bertukar ke lokasi penggambaran telemovie, Kemilau Di Hati Nadirah di Pulau Pinang pada Isnin lalu.
Mujurlah kata Ayu, sepanjang seminggu berada di Pulau Pinang, Zaquan ikut bercuti memandangkan dia baru menjalani rawatan perubatan akibat kecederaan lutut.
Bertanyakan khabar sama ada sudah 'berisi' atau belum, ketawa si pengantin baru yang masih bersisa inai di jari itu semakin manja.
"Belum, kami pun tengah menunggulah. Saya memang berharap untuk cepat-cepat menimang cahaya mata, Zaquan lagilah teruja. Awal-awal lagi kami sudah berbincang pasal anak.
"Masa bulan pertama kahwin, saya sedikit berdebar, ingatkan bila sudah terlewat 'kitaran,' maknanya saya dah berisi, tapi rupa-rupanya belum lagi. Belum ada rezeki nampaknya," tergambar fasa pertama bergelar isteri yang menyeronokkan daripada ungkapan adik jelitawan, Rozita Che Wan itu.
Berbalik kepada Mata Ayer, dalam drama berkisarkan ilmu hitam itu, Ayu membawa watak Melati. Melati sering hadir dalam mimpi Shidah, lakonan Sharifah Shakinah.
"Melati sebenarnya moyang kepada Shidah dan bayangan mimpi dalam tidur Shidah itu sebenarnya merupakan satu petanda. Watak saya kali ini agak misteri," katanya.
Drama bersiri 20 episod terbitan Zeel Production yang diarahkan oleh Mazri Mustafa dan skrip oleh Mohd. Rohizan Ramli itu mula bersiaran sejak 11 April 2011 pada hari Isnin hingga Khamis
pukul 4 petang di TV3.
0 ulasan:
Catat Ulasan