Kini sudah tiba untuk Westminster Abbey meraikan ikatan cinta agung dua ikon dunia, Putera William dan Kate Middleton. Sejarah bakal dilakar dengan perkahwinan antara putera raja Britain itu dengan kekasihnya, yang akan berlangsung pada 29 April ini.

Rakyat Malaysia juga berpeluang berkongsi detik bersejarah ini kerana hanya ntv7 saluran televisyen percuma yang bakal menyiarkannya secara langsung. Tontonilah perkahwinan teragung dekad ini itu pada Jumaat ini, dari jam 3 petang hingga 8.30 malam, yang menampilkan laporan eksklusif oleh kru ntv7 di London.

Lintas langsung majlis ini disiarkan di berita ntv7 dalam ketiga-tiga bahasa, Edisi 7, 7 Edition dan Mandarin 7, bermula pada 22 April dengan laporan terkini persiapan majlis perkahwinan terbabit.
Satu-satunya stesen TV tempatan percuma yang akan menyiarkan majlis gilang-gemilang ini, kru ntv7 akan ditempatkan di British Academy untuk mendapatkan gambaran jelas perkahwinan ini ketika siaran langsungnya nanti.

Penerbit dan penyampai berita bahasa Melayu ntv7, Edisi 7, Azlinda Salim, antara kru ntv7 ke London berkata, keluarga diraja British ialah antara yang paling diminati di dunia, dan mereka amat teruja berpeluang membabitkan diri dalam majlis diraja terbesar Britain, dengan menyiarkan majlis perkahwinan ini secara langsung.

“Kami sudah membuat segala persiapan yang diperlukan untuk memastikan aspek teknikal bagi lintas langsung ini berjalan lancar. Saat untuk menyiarkan detik eksklusif majlis perkahwinan diraja ini khas untuk penonton kami amatlah dinantikan,” tambah Azleena Najri, penerbit dan penyampai berita bahasa Inggeris ntv7, 7 Edition.

Bersama Azlinda dan Azleena ialah Lee Siad Huey, penyampai berita yang akan membawakan lintas langsung acara ini kepada penonton berita Mandarin saluran ini, berserta lima lagi kru yang lain. Ketiga-tiga penyampai berita ini akan menemuramah mereka yang berkaitan dengan perkahwinan ini, selain memberikan kupasan majlis yang bakal memukau seluruh dunia ini kepada penontonnya.
Saluran Ceria Anda juga akan menampilkan ulasan ekslusif oleh penyampai ternama dari BBC News, Huw Edwards. Wartawan dan penyampai berita BBC News at Ten dari Wales yang pernah memenangi anugerah BAFTA ini akan memberi ulasan menarik pada majlis perkahwinan itu nanti, selain temuramah eksklusif dengan teman rapat pasangan dan keluarga diraja berkenaan.

Tetamu yang akan ditemuramah di studio BBC termasuklah sejarawan, pakar fesyen, dan hadirin yang dijemput ke majlis terkemuka ini.

Tiga jam sebelum berlangsungnya perkahwinan, Edwards akan mengupas keadaan yang berlaku di sekitar istana, selain melaporkan keterujaan dan semangat mereka di sekitar kawasan pusat bandar kota London dan kawasan utama lain seperti St Andrews dan kampung halaman Kate di Bucklebury.

Perarakan perkahwinan ini akan diikuti dari mula hinggalah acaranya berakhir di Istana Buckingham. Edwards juga akan mengulas mengenai impak majlis gilang-gemilang ini terhadap seluruh dunia.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top