Cerita hati Lisa

hi 01.1


IMEJ bersih dan sopan-santun yang dimiliki aktres Lisa Surihani tidak menjanjikan yang dia bebas daripada gosip-gosip panas rencah dunia hiburan.

Sejak terjun ke dunia lakonan, Lisa pernah digosipkan dengan beberapa aktor seperti Farid Kamil dan Shaheizy Sam.

Bagaimanapun, gosip-gosip itu berlalu begitu sahaja dan Lisa seperti biasa memilih untuk berfikiran positif kerana mengerti itulah permainan yang perlu diharunginya tatkala membuat keputusan untuk menjadi seorang pelakon.

Terkini, tidak ada angin, tidak ada ribut, tiba-tiba sahaja muncul cerita yang Lisa kini sedang intim bersama pelakon, penyanyi dan pengarah filem Merong Mahawangsa, Yusry Abdul Halim.

Tertawa di corong telefon saat diajukan gosip terbaru itu ketika dihubungi minggu lalu, Lisa tidak mengelak mahupun menafikan berita itu. Sebaliknya dia mengaku yang dia memang sedang berkawan dengan Yusry.

“Ya, saya tidak nafikan yang saya berkawan dengannya (Yusry). Sebenarnya kami sudah kenal lama dan sering berbual menerusi BBM (BlackBerry Messenger) tetapi kami mula keluar dan rapat sejak dua bulan yang lalu,” ujarnya.

Sambung Lisa lagi, desas-desus kononnya dia bercinta dengan Yusry semuanya bermula apabila mereka dilihat duduk bersebelahan ketika tayangan filem Seru yang diadakan pada awal bulan ini.

“Saya dijemput ke majlis tayangan perdana filem itu, tapi kami pergi berasingan dan jumpa di sana. Saya hadir bersama ibu dan abang saya. Dia duduk di sebelah saya, mungkin sebab itu orang mula berkata.

hi 01.2

LISA sangat rapat dengan ibunya yang sentiasa mengiringinya ke mana sahaja.


“Bagi saya, tidak ada sebarang masalah untuk dia duduk di sebelah saya kerana dia kawan saya. Mungkin dia solo dan saya solo, orang mula berkata,” katanya.

Walaupun begitu tegas Lisa, dia berharap hubungannya dengan Yusry tidak disalah erti mana-mana pihak.

“Kami baru berkawan rapat dalam dua bulan, saya berharap daripada situ orang boleh faham secara logiknya hubungan kami hanya sekadar kawan sahaja.

“Ya, memang kami ada keluar menonton wayang dan lepak bersama tetapi setiap kali keluar saya pasti ditemani ibu atau teman yang lain,” balasnya.

Jodoh dengan Yusry

Lisa dalam pada itu enggan berselindung mengatakan bahawa dia selesa berkawan dengan Yusry. Malah, setiap kali berjumpa banyak topik yang boleh dibincangkan bersama.

“Secara jujur saya tidak melihat berkawan dengan Yusry merupakan satu kesalahan. Kami boleh borak macam-macam, daripada filem sehinggalah ke isu semasa.

“Dia lebih dahulu bekerja dalam bidang seni, jadi banyak soalan yang saya ajukan kepadanya, memang kami serasi. Saya selesa berkawan dengannya, bagi saya dia seorang yang bijak dan mempunyai misi serta visi dalam hidupnya,” tuturnya.

Disoal lagi, andai pada masa depan dia mempunyai jodoh dengan Yusry adakah dia akan menerimanya memandangkan umur mereka begitu jauh berbeza. Yusry 37 tahun dan Lisa 25, ditambah pula dengan Yusry yang berstatus duda.

hi 01.3

YUSRY mengakui tertarik dengan karakter dan personaliti Lisa.


Lisa dengan tenang menjawab, dia tidak kisah andai dipertemukan jodoh dengan duda dan lelaki yang lebih berusia kerana itu semua ketentuan Allah.

“Jodoh terletak di tangan Allah, kalau itu jodoh saya yang telah ditentukan, saya terima. Kalau bercakap tentang umur, saya tidak ada sebarang masalah kerana saya sudah biasa dikelilingi lelaki berusia.

“Abang-abang saya berusia 35 dan 36 tahun, kebanyakan sepupu dan kawan saya dalam lingkungan usia itu. Sebab itu saya rasa, saya boleh masuk dengan orang yang lebih berusia daripada saya. Tetapi untuk bercakap soal jodoh bagi saya masih terlalu awal,” tuturnya.

Apabila disoal sama ada ibu mengetahui yang dia kini berkawan dengan Yusry, kata Lisa masakan ibunya tidak tahu kerana ke mana sahaja dia pergi pasti diiringi ibunya.

“Mummy orang paling rapat dengan saya, ke mana sahaja saya pergi pasti ditemani mummy, kalau saya tidak beritahu pun, dia akan tahu juga,” luahnya yang baru sahaja selesai penggambaran filem berjudul Papa, I Love You.






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top