Faizal berkata, dia perlu bersikap tegas daripada hari pertama uji bakat kerana tidak mahu mana-mana peserta yang mahu mengambil bahagian menganggap ringan dan mudah dalam mencapai cita-cita untuk bergelar seorang penyanyi.
"Walaupun mereka (peserta) mempunyai personaliti yang menarik, tetapi tidak boleh menyanyi serta tiada keyakinan diri, sukar untuk saya memilih mereka sebagai protege.
"Ini kerana, jika kita memberi peluang kedua dengan harapan dapat mengasah bakat atau personaliti mereka sedikit demi sedikit, maka ramai yang merasakan memasuki bidang nyanyian adalah sesuatu yang sangat mudah," katanya yang ditemui pada sesi uji bakat Mentor 5 sesi bagi pencarian protege Faizal Tahir.
Sepanjang uji bakat yang berlangsung dengan kehadiran kira-kira 600 orang, hanya sepuluh orang peserta sahaja dipilih untuk ke sesi saringan yang diadakan pada hari sama pukul 9 malam.
Menurut Faizal, bukan senang untuk dia 'turun padang' mencari protege yang sesuai
"Saya pernah melalui sesi uji bakat sebelum ini dan semestinya faham perasaan mereka apabila penyertaan mereka ditolak lebih-lebih lagi bagi yang menaruh harapan tinggi untuk terlibat dalam program ini.
"Bagaimanapun, saya hargai kehadiran mereka termasuklah ada yang sanggup datang dari jauh. Cuma dalam pemilihan ini, saya perlukan seorang yang berkeyakinan tinggi selain vokal yang bagus," ujarnya.
Walaupun akan terus menunaikan tanggungjawab sebagai mentor nanti, penyanyi lagu Karma ini tidak mahu meletakkan garisan di antara seorang mentor dan protege.
"Secara jujurnya, saya bukannya mencari anak didik, sebaliknya ingin membantu seseorang yang berbakat menunjukkan jalan mana yang harus dilalui untuk bergelar seorang penyanyi dan penghibur yang berkaliber," tegasnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan