Jika dalam dua siri sebelum ini 12 peserta boleh menarik nafas apabila terus diberi peluang untuk bersaing di pentas RL6, namun acara yang berlangsung pada minggu lalu menyaksikan dua peserta terpaksa disingkirkan.
Mendapat peratusan undian yang terendah berbanding 10 lagi peserta yang bertanding, kedua-dua kumpulan yang mendapat bimbingan Angah RL selaku Cif Kecik tetap tampil dengan persembahan yang tidak mengecewakan.
Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, sudah tiba masanya untuk pihak Astro melakukan penyingkiran memandangkan kesemua peserta sudah diberi peluang untuk menonjolkan kemampuan mereka.
“Persembahan para peserta pada minggu ini majoritinya memang terbaik. Namun, pihak Astro terpaksa juga menyingkirkan dua peserta memandangkan itu adalah format yang telah ditetapkan sebelum rancangan ini bermula.
“Mengenai peranan yang dimainkan oleh Cif Besar dan Cif Kecik pula, mereka telah menjalankan tanggungjawab membimbing para peserta dengan baik dan mereka sangat cepat menyesuaikan diri ketika membuat persembahan,” ujarnya.
Ditanya tentang penyingkiran kedua-dua kumpulan pada minggu tersebut, Nizam menyifatkan hanya Ketupat satu-satunya peserta yang tidak menyerlah dan King pula tidak bernasib baik kerana mendapat undian yang sedikit sehingga mereka terpaksa meninggalkan pentas RL6.
Bagaimanapun, dia turut memuji persembahan kesemua peserta bertanding yang dilihat semakin menunjukkan peningkatan setiap minggu dan yakin mereka mampu untuk tampil dengan lebih baik lagi pada minggu berikutnya.
“Ada antara para peserta pada kali ini yang memang langsung tidak berpengalaman dalam membuat persembahan di pentas, tetapi saya berasa cukup kagum kerana mereka mampu melaksanakan tugasan yang tidak mengecewakan dan menghiburkan orang ramai,” ujarnya.
Berkenaan dengan komen pengkritik yang agak lantang sehingga mengeluarkan perkataan yang cukup pedas seperti ‘busuk’, Nizam memberitahu, ia bukanlah satu perkara yang perlu diperbesar-besarkan.
Jelasnya, selagi ia tidak melanggar sebarang etika dalam bidang penyiaran, pengkritik bebas untuk memberi sebarang komen. Namun, dia berharap agar penggunaan perkataan sebegitu dapat dikurangkan.
“Mungkin setiap pengkritik ada cara mereka tersendiri untuk memberi komen. Lagipun sehingga sekarang ini pihak kami langsung tidak menerima sebarang aduan daripada peserta dan mereka menerima apa sahaja komen pengkritik terhadap persembahan mereka,” katanya.
Sementara itu, Angah selaku Cif Kecik untuk kumpulan Ketupat dan King tetap akur apabila kedua-dua kumpulan di bawah bimbingannya itu tidak dapat lagi meneruskan saingan.
Menurutnya, hanya pada minggu ketiga barulah dia dapat melihat kemampuan sebenar mereka dan yakin kedua-duanya akan mampu menghasilkan persembahan yang lebih baik lagi jika diberi peluang untuk terus bersaing.
“Tentang penyingkiran Ketupat dan King, saya anggap itu adalah bukan rezeki mereka untuk berada di pentas ini. Kini cuma tinggal kumpulan Riki serta 2Yol di bawah bimbingan saya dan saya berharap mereka mampu layak sehingga ke final,” jelasnya.
Kecewa
Bagi kumpulan Ketupat dan King, mereka ternyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaan setelah tersingkir apabila mendapat undian terendah berbanding 10 peserta lain iaitu 5.7 peratus dan 6.3 peratus.
Salah seorang ahli kumpulan King, Mohd. Faridi Bardaidi berkata, mereka tetap bersyukur apabila mampu bertahan sehingga minggu ketiga dan tetap berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan.
“Sebenarnya memang kami sudah menduga peluang kami untuk terus bertahan agak sukar memandangkan berada di tangga ke-11 sebelum acara bermula. Apa pun kami tetap terima keputusan ini dan berterima kasih kepada semua peminat yang telah mengundi," jelasnya.
Kumpulan Ketupat pula mengakui menang atau kalah adalah adat sesebuah pertandingan dan mereka sudah bersedia untuk tersingkir walaupun telah cuba melakukan yang terbaik.
Menurut Mohd Hafizi Hussin yang merupakan salah seorang anggota kumpulan tersebut berkata, mereka langsung tidak marah dan kecil hati apabila menjadi satu-satunya kumpulan yang dilabel membuat persembahan ‘busuk’ oleh pengkritik Sheila Rusly.
“Kami anggap segala komen yang diberikan oleh para pengkritik itu mampu untuk menaikkan lagi semangat kami. Cuma perasaan sedih dan kecewa itu memang tidak disembunyikan kerana selepas ini kami tidak lagi beraksi,” ujarnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan