Pengurus Saluran itu, Izelan Basar, berkata daripada statistik kajian dilakukan, drama kerohanian yang memaparkan balasan diterima pada saat kematian itu turut mencatatkan peningkatan penonton bagi siaran ulangannya.
"Statistik penonton tertinggi datangnya daripada kalangan suri rumah, pelajar dan pesara," katanya dalam pertemuan bersama media di sebuah restoran di KLSentral,semalam.
Tanah Kubur yang diarahkan Rashid Sibir menyajikan kisah benar berdasarkan pengalaman dikongsi penggali kubur.
"Sedia maklum, kebanyakan penonton lebih gemar menyaksikan balasan yang diterima akibat perbuatan jahat berbanding perbuatan baik. Namun pada setiap musim, kita tetap selitkan balasan orang yang baik untuk memberi peringatan kepada masyarakat.
"Menariknya, segala kisah dipaparkan adalah merujuk kepada kes benar yang pernah diceritakan sendiri pengalaman penggali kubur dan daripada buku rujukan Islam. Drama ini juga kekal menggunakan manusia sebenar sebagai jenazah dan dikebumikan mengikut hukum," katanya.
Izelan turut berharap program itu dapat diteruskan ke musim berikutnya, serta diakhiri dengan penerbitan filem cereka.
Tanah Kubur diteruskan buat musim ketiga bermula 24 Februari ini. Ia disiarkan setiap Jumaat, jam 7.30 malam.
Menurut Rashid, musim terbaru masih mengekalkan Nasir Bilal Khan sebagai Tok Adi, selain memperkenalkan pelakon baru seperti Jimmy Shanley, Hamidah Wahab, Talha Harith, Shafiq Kyle dan ramai lagi.
"Bagi musim ini juga, antara isu yang dipaparkan termasuk susuk kuat sembahyang, biadap terhadap al-Quran, mempersiakan anak yatim, menipu dalam perniagaan, lelaki memakai aksesori emas, bermain nombor ekor, kehidupan gigolo, masalah pembahagian harta pusaka, mengutuk ulama dan murtad," katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan