Anggun sentiasa melangkah sebagai wanita Timur
Penyanyi Anggun yang berdarah Jawa begitu sukses menebar bakatnya di Perancis. Sosok langsing dengan rambut lurus melepasi bahu, dilengkapi kulit sawo matang, Anggun Cipta Sasmi akur, tuntutan karier di Eropah mengubah citra dirinya daripada seorang wanita yang ‘keras dan lasak’ menjadi lebih feminin serta matang.


“Pernah sekali memotong pendek rambut pada 2001 tetapi selepas itu saya menyesal. Mungkin sudah terbiasa berambut panjang, bila dipotong pendek, jadi kekok. Wajah saya juga tidak sesuai berambut pendek, jadi beginilah saya,” kata Anggun.

Tiada yang datang mudah dalam hidup. Akui Anggun, dia pernah tidur cuma tiga jam sehari tanpa ruang membelai dan memanjakan diri. Pada masa sama penyanyi yang dilahirkan pada 29 April 1974 itu dituntut menjaga stamina dan vokal supaya sentiasa muncul bertenaga di mata khalayak.

“Saya seorang yang bekerja keras dan jarang mempunyai waktu untuk beristirehat. Jika mempunyai waktu yang memungkinkan saya untuk melelapkan mata seketika pada waktu siang, saya akan ambil. Pablo Picasso pernah berkata, jangan memperkecilkan kuasa tidur seketika. Tidak perlu lama, cukup 15 minit yang nyenyak kerana ia akan memberi keselesaan kepada diri,” katanya.

Malangnya semua itu ada kala hanya tersimpan dalam angan-angannya kerana jadual yang ketat menyebabkan dia tidak berkesempatan melakukan perkara itu. Disebabkan keletihan, setiap kali apabila mula berasa suaranya serak, isteri kepada penulis kelahiran Perancis, Cyril Montana ini pantas mencari jalan penyelesaian.

“Ia bukan sesuatu yang bagus kerana saya sering kepenatan. Bayangkan sarapan saya cuma satu dua suap, selepas itu saya langsung bekerja. Syukur, saya dikurniakan bentuk tubuh langsing tetapi tidak mudah sebenarnya untuk menjaga badan. Sebelum punya anak, badan saya susah naik tetapi selepas melahirkan, berat saya meningkat mendadak hingga 27 kilogram.

“Saya menyusukan anak sehingga lapan bulan dan alhamdulillah, selepas itu berat saya perlahan-lahan menyusut. Dulu, pernah cuba pilates tetapi terpaksa dilupakan kerana saya tidak punya waktu,” katanya.

Lapan tahun di bumi asing, identiti Jawa dalam dirinya masih kental. Setiap kali bangun tiur, Anggun sentiasa menyemat di mindanya untuk melangkah keluar sebagai wanita Timur. Akui Anggun, bahasa Indonesia masih sering dipraktikkan terutama ketika berkomunikasi dengan anak perempuannya, Kirana Cipta Montana Sasmi, 5 tahun.

“Hidup tidak punya manual tetap tetapi saya selalu ingat pesan nenek, orang Jawa kalau mahu ke tempat tidur harus melabuhkan dulu punggung kemudian kakinya. Itu lebih manis. Kalau mahu menunjukkan sesuatu, harus jangan menggunakan telunjuk tetapi ibu jari supaya lebih sopan. Setiap kali berbual, saya dan penata gaya, Denise akan bercakap menggunakan bahasa Indonesia.

“Setiap kali Denise datang ke rumah, Kirana pasti tahu kami berdua menggunakan bahasa Indonesia. Saya tidak pernah campur bahasa jika berbual dengan Kirana,” katanya yang turut tidak melupakan nasi sebagai makanan ruji. Setiap hari pasti sesuap dua nasi akan diambilnya, malah di rumahnya di Perancis, periuk nasi elektrik tetap disimpan.

“Kirana juga menggemari nasi, jika tidak dia memilih pasta atau mengambil lauknya saja. Saya tidak pernah memaksa tetapi selalu memberinya pilihan. Kirana tahu tidak semua orang bertuah dan ada wang untuk makan mewah. Dia sudah belajar menghargai rezeki, malah tidak suka membuang makanan.

“Setiap kali punya waktu saya akan memasak. Bukan untuk seorang dua tetapi untuk jumlah besar seperti 12 orang. Saya akan masak opor ayam yang banyak. Setiap kali sebelum ke luar daerah, saya akan mula memasak untuk suami simpan di peti sejuk. Saya paling gemar jering masak berkuah dan memang handal menyediakannya. Tetapi jering tidak dijual di Perancis,” katanya.

Info Menarik Anggun

* Menetapkan syarat tiada soalan peribadi diajukan untuk temubual terutama selepas melahirkan anak. Anggun enggan anaknya menjadi mangsa pendedahan keterlaluan media kerana baginya, artis juga mempunyai tanggungjawab dengan pengisian yang mahu dikongsi bersama media.

* Kurang senang dengan keterbukaan keterlaluan media di Indonesia terutama inforia kerana baginya, informasi yang mahu dikongsi harus punya batasan. Anggun cuma sedia berkongsi mengenai muzik, lagu dan perkara yang membantu pertumbuhan minda masyarakat.

* Sentiasa berbuat baik dengan semua orang dan mengelakkan diri daripada bersifat sombong. Menjunjung profesionalisme dan enggan masanya terbuang untuk hal yang tidak berfaedah.

* Menggemari sepatu jenama mewah, Louboutin kerana gemarkan rona merah. Bukan seorang yang mementingkan jenama mewah tetapi untuk beraksi di pentas, Anggun mengutamakan keselesaan dan sepatu jenama itu menerbitkan aura feminin dalam dirinya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top